Fadhli Umar Aminolhuda

JOHOR BAHRU – Kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa beliau tidak akan bekerjasama dengan DAP jika menang pilihan raya negeri (PRN) disifatkan sebagai hipokrit.

Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, ini kerana BN Johor pernah menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota di Kluang dua tahun lalu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, kenyataan yang tidak mengenang jasa itu mendedahkan sikap sebenar BN Johor.

“Bila perlukan kuasa, semua boleh jadi kawan. Bila dah duduk selesa di puncak kuasa, tiba-tiba jadi jijik nak sebut nama dan tak mahu duduk semeja. Hipokrit.

“Madu habis, sepah dibuang. Bila perlukan bantuan, dipanggil kawan. Bila rasa sudah kuat, kawan lama pula dijadikan lawan.

“Politik seperti ini bukan menunjukkan kekuatan, politik beginilah yang mendedahkan siapa yang sebenarnya tidak konsisten dengan prinsip sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Onn Hafiz ketika berucap dalam pelancaran jentera BN Johor menegaskan, beliau enggan memegang jawatan Menteri Besar Johor sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP jika menang dalam PRN akan datang.

Tegas beliau, kerjasama antara BN khususnya UMNO dan DAP di negeri ini tidak pernah terjalin selama ini, berbeza berbanding realiti yang dihadapi di peringkat Pusat.

Mengulas lanjut, Fadhli Umar berkata, alasan Onn Hafiz yang menolak kerjasama dengan DAP itu atas dasar prinsip menimbulkan tanda tanya.

“Kononnya tolak DAP atas dasar prinsip. Eh? bila perlukan sokongan untuk bentuk kerajaan, semuanya boleh. Bergambar boleh, berjabat tangan boleh, duduk semeja pun boleh. Bagaimana nak ukur pendirian mereka? Ke memang sandiwara sahaja?

“Bila nak undi Melayu, UMNO dan BN jadi garang. Bila nak cukupkan nombor dan kekalkan kuasa, UMNO dan BN terus jadi lembut. Yang berubah bukan keadaan. Orang Melayu kata lembut tengkuk,” katanya.

Menurutnya, PH gembeleng tenaga membantu kemenangan BN dalam PRK Mahkota dan perkara tersebut tidak menimbulkan sebarang masalah pun sebelum ini.

“Duduk dalam kerajaan Perpaduan bersama-sama, tak ada masalah. Bergambar, bermesyuarat dan meraikan kejayaan bersama pun tak ada masalah.

“Tetapi bila pilihan raya semakin dekat, tiba-tiba DAP dijadikan musuh nombor satu. Cepat betul ingatan politik berubah,” ujarnya.

Jelas beliau, isunya bukan suka atau tidak suka DAP tetapi soal konsistensi.

“Kalau sesuatu itu salah, maka salah lah dari awal. Kalau sesuatu itu betul, maka pertahankanlah pendirian itu. Kalau prinsip boleh hidup dan mati mengikut keperluan politik, itu bukan prinsip. Itu kepentingan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan BN Johor supaya tidak terlalu yakin boleh menang PRN kerana bimbang yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast