BUKIT MERTAJAM – Lelaki yang tular selepas memandu secara melulu menggunakan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna oren di sekitar Seberang Jaya semalam direman selama empat hari.
Perintah reman terhadap suspek berusia 29 tahun itu dikeluarkan Majistret Bukit Mertajam, Savinder Singh Jugindar Singh bermula hari ini sehingga 12 Jun depan.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah dengan menaiki trak polis dilihat memakai pakaian lokap berwarna oren pada jam 8.45 pagi.
Perintah reman sehingga empat hari itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pemandu Triton tular positif dadah, miliki 17 rekod lampau
Mitsubishi oren ‘mengganas’ di Jalan Seberang Jaya
Semalam, media melaporkan lelaki terbabit ditahan selepas dipercayai memandu secara melulu dan berbahaya dari arah Sungai Dua menghala ke Pulau Pinang sehingga melanggar beberapa kenderaan di sepanjang laluan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah dilaporkan berkata, pemeriksaan ke atas beg silang milik suspek menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki methamphetamin seberat 0.75 gram (g) dan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketamin seberat 2.38g.
Kata beliau, hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamin dan morpin.
“Semakan rekod lampau juga mendapati suspek mempunyai 17 rekod jenayah, termasuk 15 rekod kesalahan berkaitan dadah serta dua rekod kesalahan jenayah lain.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette
















