KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menahan empat individu termasuk seorang pembonceng selepas dikesan terlibat dalam aksi berbahaya wheelie menerusi dua video tular yang dirakam di beberapa lokasi sekitar ibu negara baru-baru ini.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tindakan susulan hasil risikan berjaya mengesan serta menahan individu yang dipercayai terlibat dalam aksi samseng jalanan berkenaan.
Kes pertama, polis mengesan satu video tular berdurasi 47 saat yang dimuat naik menerusi Reel Facebook “jenterapejuang.my” memaparkan dua motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 135LC FI melakukan aksi “wheelie” di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan beberapa lokasi lain di Kuala Lumpur pada 6 Jun lalu antara pukul 2 pagi hingga 2.30 pagi.
“Hasil siasatan dan tindakan susulan, polis menahan dua lelaki Melayu berusia antara 17 hingga 24 tahun serta seorang lelaki Cina berusia 17 tahun yang bertindak sebagai pembonceng,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain serta diri sendiri.
Dalam kes kedua, JSPT Kuala Lumpur mengesan satu lagi video tular berdurasi 45 saat yang dimuat naik menerusi Reel Facebook “UPDATE&INFO” memaparkan seorang penunggang motosikal Honda EX5 melakukan aksi wheelie sebelum terjatuh.
Kejadian itu dipercayai berlaku di sekitar Jalan Ampang, Jalan Raja Laut dan beberapa lokasi lain di Kuala Lumpur pada 7 Januari lalu antara pukul 2 pagi hingga 2.30 pagi.
“Susulan siasatan, seorang lelaki Melayu berusia 18 tahun berjaya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata, pihaknya memandang serius kegiatan samseng jalanan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan aksi berbahaya di jalan raya.
Beliau turut meminta orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















