KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin UMNO dilihat tiba di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.
Antara yang hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO termasuk Datuk Mohamad Alamin, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh.
Difahamkan, mesyuarat yang dijangka bermula sekitar pukul 8.30 malam itu terarah kepada perkembangan politik semasa apabila landskap politik negara terus dipenuhi pelbagai perkembangan dan polemik sejak beberapa hari lalu.
Mesyuarat MKT UMNO malam ini dijangka menyentuh isu terkait Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dan hal terkait kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dalam masa terdekat.
Selain itu, dijangka isu terkait keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding secara solo pada PRN kali ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut.
Isu bertanding solo dijangka diperhalusi malam ini untuk mendapat ‘perkenan’ pemimpin tertinggi pusat. – MalaysiaGazette
















