Mohd Zamzuri Mohd Isa.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan 1/18A, Taman Mastiara, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan maut yang berlaku kira-kira pukul 1.10 petang itu.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda Wave milik rakan mangsa yang ditunggang remaja lelaki tempatan itu serta sebuah lori jenis Hino yang dipandu lelaki tempatan berusia 52 tahun.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan sedang membelok ke kiri ke laluan yang sama sebelum berlaku pergeselan antara motosikal dan lori tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan itu, katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, sampel air kencing pemandu lori telah diambil untuk ujian saringan manakala keputusan ujian Evidential Breath Analyzer (EBA) adalah negatif.

Sehubungan itu, polis memohon mana-mana pemilik premis atau orang awam yang mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Mohd Alif Md Noordin di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur menerusi talian 019-2444262 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast