JOHOR BAHRU – Isu antara Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Anthony Loke Siew Fook yang saling berbalas komen kini memasuki fasa baharu apabila seorang Exco Kerajaan Negeri Johor bersuara mendakwa tidak dijemput dalam program penting di sini April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh turut mendakwa tidak dijemput ketika lawatan kerja Menteri Pengangkutan itu ke Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link pada 3 April lalu.
“Ketika lawatan kerja itu mengapa YAB Menteri Besar mahupun saya selaku Exco yang bertanggungjawab terhadap portfolio pengangkutan negeri tidak dijemput?
“Ketika perkara tersebut ditanyakan, kami dimaklumkan bahawa jemputan hanya melibatkan pihak vendor atau pembekal.
“Jika demikian, atas kapasiti apakah beberapa pemimpin DAP Johor turut berada dalam lawatan tersebut?
“Inilah perkara yang perlu dijawab dengan jelas, bukannya dialihkan kepada program-program lain yang tidak berkaitan dengan persoalan asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Onn Hafiz semalam mendakwa beliau ‘terharu’ kerana akhirnya dijemput Anthony Loke untuk sama-sama menaiki KTM Komuter di Kulai, Selasa ini meskipun masih belum menerima surat jemputan rasmi.
Ini kerana beliau mendakwa, terdapat beberapa lawatan Anthony Loke yang membabitkan projek di Johor tidak pernah membabitkannya atau Exco kerajaan negeri yang bertanggung jawab.
Anthony Loke menerusi hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini menyenaraikan program-program melibatkan beliau dan kementeriannya di Johor yang turut dihadiri Onn Hafiz sejak 2024 hingga terkini.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, walaupun pelbagai senarai program dan gambar dikemukakan, persoalan utama yang dibangkitkan masih belum dijawab iaitu tiada jemputan untuk lawatan tersebut.
“Mungkin YB Menteri terkeliru antara kenyataan bahawa YAB Menteri Besar dan kerajaan negeri ‘tidak pernah dijemput ke mana-mana program Kementerian Pengangkutan’ dengan perkara sebenar, iaitu ‘sebelum ini beberapa program kementerian, saya atau Exco yang bertanggungjawab tidak mendapat sebarang jemputan rasmi.”
“Saya juga mengambil maklum pengumuman YB Menteri melalui media bahawa YAB Menteri Besar akan dijemput ke program pada Selasa ini, malah akan diberikan ruang untuk berucap,” ujarnya.
Namun katanya, sehingga kini surat jemputan rasmi masih belum dikeluarkan.
“Saya nak tanya. Program hari Selasa ini jemput YAB Menteri Besar sahaja ye YB? Sebab kalau jemputan dekat saya pun last minute juga, saya nak kena adjust banyak program,” katanya sinis.
Menurutnya, menghantar surat jemputan dan butiran program melalui saluran rasmi bukan sekadar soal tatacara, tetapi turut mencerminkan adab, tertib dan profesionalisme sebagai pemimpin.
“Jika program tersebut telah dirancang lebih seminggu, janganlah pula jemputan kepada YAB Menteri Besar dibuat pada saat-saat akhir,” tambahnya. – MalaysiaGazette

















Menteri DAP tak tau adab..datang negeri org, jaga adab..Johor tu ada MB..