Datuk Dr Asyraf Wajdi ditemui pemberita dalam Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Pindaan terhadap Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) 1966 akan dibentangkan di Parlimen, dalam tahun ini.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut diminta sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang menjaga Mara.

“Peringkat ini adalah peringkat dasar, dan drafnya kita akan berikan kepada semua pihak-pihak berkepentingan, khususnya kementerian lain untuk dinilai dan juga diperhalusi.

“Ini bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka sebelum kita angkat sekali lagi ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi maksud untuk kita mendapat kelulusan untuk dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merangkap Menteri Besar Johor.

Sebelum ini, jemaah menteri sudah meluluskan kertas dasar bagi penggubalan Akta Mara.

Akta baharu itu bakal menggantikan Akta Mara 1966 dengan kira-kira 80 peratus perubahan dalam draf cadangan tertumpu kepada aspek tatakelola dan tadbir urus berasaskan piawaian antarabangsa serta amalan tadbir urus korporat yang baik.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast