Anthony Loke dan Onn hafiz merasmikan Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Kerata Api Kulai, di Kulai hari ini.

KULAI – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Johor tanpa mengira perbezaan politik.

Jelas beliau yang juga Setiausaha Agung DAP itu, ia kerana kebajikan dan kepentingan rakyat perlu menjadi keutamaan.

“Isu politik boleh diselesaikan melalui saluran politik tetapi perkara yang melibatkan kerja, perkhidmatan dan tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri akan diteruskan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Kerata Api Kulai, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz.

Beliau secara berjenaka berkata, ramai petugas media hadir majlis itu menjangkakan ‘drama’ berikutan mereka berdua saling berbalas komen sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pemimpin kerajaan mesti cukup matang memisahkan politik dengan pentadbiran sambil menambah kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan diteruskan demi kepentingan pembangunan Johor.

Terdahulu Anthony dan Onn Hafiz saling berbalas kritikan dalam Facebook masing-masing dipercayai bermula apabila Onn Hafiz mengeluarkan kenyataan Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Negeri Johor berkata, beliau lebih rela melepaskan jawatan menteri besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri.

Pada hari yang sama, Anthony menyindir Onn Hafiz dengan menyatakan bahawa pendirian itu bercanggah dengan realiti kerjasama BN dengan DAP pada peringkat Persekutuan apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hampir tiap-tiap minggu duduk di sebelahnya.

Mengulas lanjut, Anthony mengulangi sokongan kerajaan Persekutuan terhadap cadangan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (E-ART) di Johor.

Beliau memahami kebimbangan kerajaan negeri terhadap kesesakan lalu lintas sejurus sahaja Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Link mula beroperasi.

Menurutnya, perbincangan masih diteruskan di peringkat Persekutuan mengenai mekanisme pembiayaan yang paling sesuai untuk projek itu.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan Persekutuan menyokong aspirasi Johor untuk melihat E-ART dilaksanakan secepat mungkin.

Jelasnya, beberapa langkah sementara termasuk perkhidmatan bas ulang alik dan sambungan sedang diperkenal untuk memudahkan aliran trafik sambil menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara meluas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast