JOHOR BAHRU – Jawatankuasa Pemilihan Calon (JPC) Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sudah pun selesai menjalankan proses penilaian dan temu duga calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah JPC MUDA, Leben Siddharth berkata, proses pemilihan dilaksanakan bagi memastikan setiap calon yang diperakukan memenuhi standard parti daripada segi integriti, komitmen, kesediaan pilihan raya, keupayaan kepimpinan serta kesetiaan kepada perjuangan dan nilai-nilai MUDA.

“Sepanjang proses temu duga, calon-calon dinilai berdasarkan beberapa aspek utama termasuk ideologi dan identiti politik, disiplin parti, kesiapsiagaan pilihan raya, keupayaan menghadapi tekanan, pemahaman dasar dan tadbir urus serta penilaian watak dan integriti.

“JPC berpuas hati dengan kualiti keseluruhan calon-calon yang telah melalui proses pemilihan ini dan percaya mereka mampu membawa aspirasi rakyat serta nilai-nilai yang diperjuangkan oleh MUDA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen MUDA terhadap politik yang bersih dan bertanggungjawab, semua calon yang diperakukan diwajibkan menandatangani Aku Janji Calon dan Perjanjian Anti Lompat Parti.

Katanya, calon-calon yang diperakukan juga diwajibkan membuat pengisytiharan aset mengikut mekanisme ditetapkan oleh parti sebagai langkah memperkukuhkan ketelusan dan akauntabiliti dalam kalangan bakal wakil rakyat MUDA.

Jelasnya, senarai calon yang diperakukan oleh JPC turut mencerminkan komitmen MUDA terhadap kepimpinan yang pelbagai, inklusif serta mewakili kepelbagaian masyarakat Malaysia.

“JPC telah mengemukakan senarai calon yang diperakukan kepada kepimpinan parti untuk pertimbangan dan kelulusan mengikut proses yang ditetapkan oleh parti,” katanya.

MUDA percaya rakyat mahukan wakil rakyat yang bukan sahaja mampu memenangi pilihan raya, tetapi mempunyai integriti, keberanian dan komitmen untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast