KUANTAN – Umat Islam perlu sentiasa memelihara kesucian agama dan meneruskan agenda dakwah selaras zaman dan perkembangan arus teknologi.
Disebabkan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpedapat, beliau melihat Himpunan Huffaz Negeri Pahang yang dihadiri lebih 5,000 huffaz malam tadi bukan sekadar pertemuan para penghafaz al-Quran.
Sebaliknya, ujar beliau, ia merupakan pertemuan ilmu dan akhlak serta doa ibu bapa.
“Akhlak dan amanah ibarat pohon yang rendang. Kelihatan kuat di luar tetapi mudah tumbang apabila diuji oleh badan dan orang. Tetapi tidak di Pahang kerana adanya dukungan huffaz dari Pahang.
“Harapan besar agar generasi al-Quran ini kelak menjadi penyuluh umat dan pemimpin masa depan negara.
“Dalam dunia yang serba moden, kemajuan sering diukur melalui angka ekonomi, kecanggihan teknologi, kemodenan infrastruktur dan kekuatan pelaburan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Tambah Ahmad Zahid, rakyat perlu sedar bahawa runtuhnya sesebuah tamadun bukan sekadar kerana rapuhnya bangunan, tetapi kerana manusia kehilangan nilai, pemimpin kehilangan amanah dan masyarakat kehilangan pedoman.
“Sebab itu, apabila saya melihat lautan huffaz pada malam ini, saya melihat satu perjuangan besar yang sedang diteruskan; perjuangan membentuk generasi al-Quran yang kuat hafazannya, baik akhlaknya dan besar amanahnya.
“Menjadi tahfiz adalah satu kekuatan besar umat. Ia bukan sekadar medan hafazan, tetapi medan memenuhi akhlak, disiplin, ego dan kepimpinan.
“Di sinilah lahirnya generasi yang bukan sahaja mengingat ayat-ayat al-Quran, tetapi dibentuk untuk memahami tanggungjawab terhadap keluarga masyarakat dan negara,” katanya.
Yang penting, tambah beliau, para huffaz adalah pendukung-pendukung agama yang menghidupkan agenda dakwah dalam negara.
“Biar kita di London atau New York, jiwa kena Makkah dan Madinah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Pahang dalam memelihara generasi al-Quran.
“Hanya negeri Pahang mengadakan himpuan kali pertama seperti ini.
“Pahang adalah bumi bertuah kerana ada raja yang prihatin terhadap huffaz ini,” tambahnya.
Bukan itu sahaja, ujarnya, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Exco Kerajaan Negeri Pahang serta kempimpinan memberi dukungan terhadap cita-cita dan masa depan kepada pendidikan tahfiz di negeri ini.
Beliau turut berharap suatu hari kelak, golongan huffaz dari Pahang mampu menjadi Perdana Menteri. – MalaysiaGazette
















