Lebih 5,000 huffaz dari seluruh negeri Pahang berhimpun malam tadi.

KUANTAN – Lautan huffaz berjubah dan berkopiah memenuhi ruang Kompleks Yayasan Pahang malam tadi apabila kira-kira 5,000 huffaz dari seluruh pelosok negeri berhimpun dalam Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026.

Himpunan itu mencipta sejarah sebagai perhimpunan terbesar golongan penghafaz al-Quran yang pernah dianjurkan di negeri ini, sekali gus menjadi simbol kekuatan generasi al-Quran yang terus berkembang di Pahang.

Menerusi kenyataan oleh Yayasan Pahang, program tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memartabatkan pendidikan tahfiz sebagai teras pembangunan modal insan.

Majlis bersejarah itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan Pahang sebagai model pembangunan pendidikan tahfiz yang berjaya menggabungkan kecemerlangan agama dan akademik.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, negeri ini telah membuktikan bahawa pendidikan tahfiz bukan sekadar melahirkan penghafaz al-Quran, malah mampu membuka laluan ilmu yang lengkap sehingga ke peringkat profesional dan antarabangsa.

“Pahang membuktikan bahawa pendidikan tahfiz boleh dibangunkan bukan secara terpisah, tetapi sebagai satu laluan ilmu yang lengkap.

“Bermula daripada peringkat awal kanak-kanak, disambung ke sekolah rendah, diperkukuh melalui maahad tahfiz, diperluas kepada pengajian turath dan akhirnya dibuka ke pentas antarabangsa,” katanya.

Hadir sama memeriahkan program ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan kepimpinan negeri.

Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian institusi tahfiz negeri yang kini semakin mendapat pengiktirafan di peringkat nasional.

“Hasil daripada perancangan dan pelaburan yang tersusun, Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang telah membuktikan kecemerlangan apabila keputusan SPM 2025 meletakkan kedua-dua institusi ini dalam kelompok empat institusi pendidikan terbaik di Malaysia.

“Ini membuktikan bahawa pendidikan tahfiz dan kecemerlangan akademik boleh bergerak seiring,” katanya.

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pahang dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang bakal membuka lebih banyak ruang pendidikan dan peluang kemahiran kepada golongan huffaz.

Lebih membanggakan, majlis turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pahang dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang bakal membuka lebih banyak ruang pendidikan dan peluang kemahiran kepada golongan huffaz.

Sepanjang hari pertama program, para peserta mengikuti pelbagai pengisian kerohanian termasuk ceramah, solat berjemaah dan aktiviti pembentukan sahsiah yang bertujuan memperkukuh jati diri serta kepimpinan generasi al-Quran.

Program diteruskan hari ini menerusi Seminar Huffaz Negeri Pahang 2026 yang menampilkan forum ilmiah berkaitan pendidikan tahfiz, termasuk perbincangan mengenai laluan huffaz dalam bidang akademik, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kerjaya profesional.

Himpunan bersejarah ini bukan sekadar mengumpulkan ribuan penghafaz al-Quran di bawah satu bumbung, malah menjadi manifestasi kesungguhan Pahang dalam melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja cemerlang dalam hafazan, tetapi turut memiliki ilmu, kemahiran dan sahsiah unggul demi memacu masa depan umah dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast