Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU – Kerajaan Persekutuan tidak bertindak sembarangan dalam pemberian peruntukan kepada negeri-negeri.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan Madani yang mentadbir negara kini berpandu kepada undang-undang bertulis dan Perlembagaan Persekutuan dalam urusan pemberian kewangan kepada semua negeri.

“Di bawah Perkara 109 (1) Perlembagaan Persekutuan, dinyatakan bahawa pada setiap tahun kewangan hendaklah kerajaan Persekutuan memberi kepada setiap negeri suatu pemberian yang dikenali sebagai pemberian ikut kepala, berdasarkan peruntukan Bahagian I Jadual Ke-10.

“Di bawah Perkara 110(1) pula dinyatakan bahawa setiap negeri hendaklah menerima segala hasil daripada cukai, fi dan sumber hasil lain seperti dinyatakan dalam Bahagian III Jadual Ke-10,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika mana-mana pihak kerajaan negeri tidak berpuas hati, maka Perlembagaan Persekutuan menyediakan peruntukan undang-undang di mana masalah tersebut dirujuk kepada Majlis Kewangan Negara.

Semalam, Tunku Mahkota Ismail bertitah, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada kerajaan Persekutuan, namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dikembalikan bagi memenuhi keperluan hampir lima juta rakyat negeri itu.

Titah Pemangku Sultan Johor, sekurang-kurangnya 25 hingga 30 peratus hasil yang dikutip dari Johor wajar dikembalikan kepada negeri bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan.

“Apabila kita memberi hasil negeri kita lebih RM40 bilion setahun dan dipulangkan hanya RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk menjaga 4.9 juta rakyat Johor, bagaimana? Benda itu tidak logik,” titah baginda dalam Podcast Bual Santai Petang Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor.

Menurut Hassan, yang menjadi kewajipan Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 108(4) untuk berunding dengan Majlis Kewangan Negara berkenaan pemberian yang dibuat oleh Persekutuan kepada Negeri-Negeri.

Jelasnya, berdasarkan peruntukan undang-undang bertulis yang sedia ada ini, maka mana-mana Kerajaan Negeri Johor yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, boleh membawa isu pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Johor yang dipertikaikan kepada Majlis Kewangan Negara. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast