TANGKAK – Pakatan Harapan (PH) menafikan dakwaan Johor dianaktirikan sebaliknya negeri itu memperoleh peruntukan pembangunan yang lebih tinggi di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan yang dibuat bersama-sama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri menunjukkan Johor menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM14.6 bilion ketika ini berbanding RM10.2 bilion sebelum Anwar menerajui kerajaan.
“Fakta tersebut membuktikan dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan mengabaikan Johor adalah tidak berasas.
“Kalau ada pihak mengatakan Johor tidak mendapat peruntukan yang sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan, kita jawab dengan fakta.
“Saya semak dengan ICU. Sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, Johor menerima RM10.2 bilion. Apabila beliau menjadi Perdana Menteri, jumlah itu meningkat kepada RM14.6 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon PH di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Bukit Gambir di sini malam ini.
Turut hadir Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Saifuddin Nasution berkata, angka tersebut perlu dijadikan jawapan oleh jentera PH sekiranya isu peruntukan kepada Johor dibangkitkan sepanjang kempen PRN nanti.
Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya kekal fokus terhadap isu yang dibawa lawan politik dan menjawabnya berdasarkan data serta fakta yang sahih.
“Dulu ramai Perdana Menteri datang daripada UMNO. Sekarang apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, ada yang kata Johor dapat peruntukan sedikit. Jadi kita jawab, RM14.6 bilion itu lebih banyak daripada RM10.2 bilion,” katanya.
Beliau menegaskan jentera PH perlu menyampaikan maklumat tersebut kepada rakyat bagi memastikan mereka mendapat gambaran sebenar mengenai komitmen kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Johor.- MalaysiaGazette
















