Foto: AFP

PARIS – Eiffel Tower di Paris ditutup lebih awal pada Selasa berikutan ramalan suhu tinggi, menurut notis rasmi yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan mercu tanda terkenal itu, lapor Xinhua.

Monumen berkenaan ditutup lebih awal pada 4 petang waktu tempatan (1400 GMT), dengan kemasukan terakhir dibenarkan pada 12.15 tengah hari (1015 GMT), menurut maklumat yang disiarkan di laman sesawang  rasminya.

Pelawat yang mempunyai tiket bagi slot masa bermula 11.30 pagi untuk akses melalui tangga dan 12 tengah hari untuk penggunaan lif akan menerima bayaran balik secara automatik.

“Kami terpaksa menyesuaikan operasi dengan keadaan haba melampau. Keutamaan kami adalah keselamatan kakitangan dan pelawat,” menurut syarikat pengendali menara itu, Societe d’Exploitation de la Tour Eiffel (SETE), seperti dipetik oleh akhbar Perancis Le Figaro.

Susulan gelombang haba yang sedang melanda negara itu, Louvre Museum turut mengumumkan bahawa ia akan ditutup lebih awal pada pukul 4 petang berbanding waktu operasi biasa sehingga 6 petang bagi tempoh 24 hingga 27 Jun.

Perancis kini berdepan gelombang haba yang sangat kuat, dengan suhu dijangka kekal pada paras luar biasa tinggi sekurang-kurangnya sehingga Khamis, menurut Meteo-France pada Selasa.

Menurut agensi cuaca kebangsaan itu, suhu di Paris mencecah 36 darjah Celsius pada 4 petang Selasa, manakala ibu negara Perancis itu dijangka mencatat suhu setinggi 38 darjah Celsius pada Rabu.

Meteo-France turut memaklumkan yang 54 jabatan di tanah besar Perancis diletakkan di bawah amaran merah gelombang haba, iaitu tahap amaran tertinggi, manakala 35 jabatan lagi berada di bawah amaran jingga. – BERNAMA-XINHUA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast