Noor Azleen dan Pemuda UMNO Johor menunjukkan salinan laporan polis dibuat terhadap Puad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Pasir Gudang hari ini.

PASIR GUDANG – Kenyataan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengaitkan istana dengan pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) Johor disifatkan sudah menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) dan mempunyai unsur hasutan.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, kenyataan penyandang kerusi DUN Rengit itu dilihat boleh mewujudkan kebencian terhadap institusi diraja.

“Kita bimbang akan membawa kepada ketidaktenteraman awam. Jadi kita serahkan pada pihak polis untuk buat siasatan secara menyeluruh.

“Sebab itu laporan polis dibuat supaya siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan adil serta tindakan lanjut dapat dipertimbangkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/06/25/tidak-mahu-dipimpin-pengecut-politik-puad-zarkashi-keluar-umno/

https://malaysiagazette.com/2026/06/25/tiada-arahan-istana-bubar-dun-johor-puad-putar-belit-onn-hafiz/

Noor Azleen membuat laporan terhadap kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyentuh isu 3R.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya tidak berpuas hati dengan senarai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak wajar mengaitkannya dengan institusi diraja.

Katanya, sebarang kerusi yang ditandingi sesebuah parti politik bukan hak mutlak mana-mana pemimpin atau penyandang, sebaliknya hak parti untuk menentukan calon yang paling sesuai.

Setiap pemimpin katanya, perlu memahami bahawa keputusan meletakkan calon pada PRN merupakan prerogatif pucuk pimpinan parti.

“Perlu diingat, kerusi adalah hak parti. Apabila tiba masanya, kerusi itu perlu dipulangkan kepada parti. Parti mempunyai prerogatif dan hak untuk menentukan siapa yang layak menjadi calon.

“Bukan penyandang yang mempunyai hak mutlak untuk menentukan perkara itu. Apabila seseorang membuat keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi yang disandang, maka keputusan mengenai calon perlu diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti,” katanya.

Beliau mendakwa tindakan Mohd Puad itu berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap senarai calon PRN Johor.

“Daripada kenyataan beliau sejak semalam, jelas terdapat rasa tidak puas hati terhadap senarai calon yang didakwa telah dilihat lebih awal. Hari ini beliau mengambil keputusan keluar UMNO dan mendakwa UMNO menjadi boneka serta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai pak turut.

“Saya berpandangan kenyataan sedemikian tidak adil dan tidak sepatutnya datang daripada seorang pemimpin yang berpengalaman serta telah lama berada dalam parti,” katanya.

Sebelum itu, media melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi keluar parti berkait dengan kegagalan mendapatkan pencalonan untuk anaknya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, bukan berpunca daripada dakwaan campur tangan Istana dalam urusan UMNO Johor.

Beliau berkata, Mohd Puad yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pernah menghantar mesej panjang kepadanya menyatakan hasrat untuk keluar parti dan mengkritik UMNO sekiranya kepimpinan tertinggi parti tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon di DUN Rengit.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast