Jurucakap Kumpulan yang juga ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir bergambar selepas Sidang media tergempar ADUN-ADUN, Ketua-Ketua Bahagian serta Pimpinan Bahagian dalam kalangan golongan orang muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di ANJUM KLCC, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan anak muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini melancarkan Kempen Era Baharu Bersatu serta mengumumkan siri jelajah Nothing To Hide 3.0 sebagai usaha memperkukuh keyakinan rakyat terhadap parti berkenaan.

Pengumuman itu dibuat pada sidang media turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua bahagian serta pimpinan bahagian Bersatu dalam kalangan pemimpin berusia bawah 45 tahun di sini hari ini.

Jurucakap Kumpulan yang juga ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir bercakap pada Sidang media tergempar ADUN-ADUN, Ketua-Ketua Bahagian serta Pimpinan Bahagian dalam kalangan golongan orang muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di ANJUM KLCC, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 JUN 2026.

Jurucakap kumpulan, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang juga ADUN Kota Siputeh berkata, kempen itu digerakkan bagi menepis dakwaan kononnya Bersatu semakin lemah selain membuktikan parti masih mempunyai barisan pelapis yang komited meneruskan perjuangan sejak penubuhannya pada 2016.

Menurutnya, persepsi kononnya struktur Bersatu semakin goyah, kehilangan pendokong dan semakin ditinggalkan ahli hanya permainan persepsi yang sengaja diwujudkan bagi melemahkan keyakinan rakyat.

Beliau berkata, majoriti kepimpinan bahagian di Semenanjung kini diterajui pemimpin muda yang telah bersama Bersatu sejak hari pertama penubuhannya dan membina parti daripada peringkat akar umbi.

“Kami bukan datang ketika parti berada di puncak. Kami bermula daripada Armada, memasang bendera, mengangkat kerusi dan menggerakkan jentera akar umbi sehingga diberi amanah memimpin bahagian hari ini.

“Ramai yang bersama kami ketika awal penubuhan parti sudah meninggalkan Bersatu namun kami tetap kekal bersama kerana percaya kepada perjuangan parti,” katanya.

Mohd Ashraf berkata, sepanjang hampir sedekad penubuhan Bersatu, parti itu turut melalui beberapa proses ‘pembersihan’ termasuk berdepan budaya politik yang menurutnya dibawa masuk oleh segelintir ‘kontraktor politik’ dan golongan oportunis.

Beliau mendakwa, kumpulan berkenaan mengamalkan politik wang, menyekat penubuhan cawangan baharu serta cuba menguasai parti demi kepentingan sendiri.

Bagaimanapun, katanya, ‘pemergian’ golongan terbabit membuka ruang kepada kepimpinan baharu membina semula parti berasaskan perjuangan yang lebih tulen serta memberi tumpuan kepada isu rakyat.

“Kami melihat keadaan hari ini sebagai peluang untuk membuktikan bahawa inilah masanya kami membawa pendekatan yang lebih baik dalam menggerakkan parti,” ujarnya.

Beliau berkata, majoriti pemimpin muda yang masih kekal bersama Bersatu terdiri daripada golongan profesional, teknokrat dan usahawan yang tidak bergantung kepada jawatan atau habuan politik.

“Kami bergerak menggunakan dana sendiri. Kami tidak mengejar pengaruh atau kedudukan. Apa yang mengikat kami ialah rasa cinta kepada parti dan semangat untuk terus berjuang demi rakyat.

“Pemimpin yang kekal bersama hari ini ialah mereka yang mempunyai kelayakan dan kepakaran untuk membantu parti menawarkan penyelesaian kepada pelbagai isu rakyat,” tegasnya.

Sementara itu, wakil teknokrat dan profesional Bersatu yang juga ahli geologi, Juzaili Azmi berkata, kepimpinan baharu parti kini disokong golongan profesional daripada pelbagai bidang yang bersedia menawarkan penyelesaian terhadap isu yang dihadapi rakyat.

Jurucakap Kumpulan, Juzaili Azmi bercakap pada Sidang media tergempar ADUN-ADUN, Ketua-Ketua Bahagian serta Pimpinan Bahagian dalam kalangan golongan orang muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di ANJUM KLCC, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 JUN 2026.

Katanya, Bersatu mahu bergerak melangkaui politik perebutan kuasa dengan memberi tumpuan kepada agenda pembinaan negara melalui dasar yang menyentuh kos sara hidup, pendidikan, sekuriti makanan dan pembangunan ekonomi.

Manakala ADUN Seberang Jaya, Izhar Shah pula berkata, kepimpinan pelapis Bersatu turut diperkukuh dengan penyertaan pakar dalam bidang ekonomi digital, geosains, rantaian bekalan dan kejuruteraan bagi membantu parti merangka dasar yang lebih praktikal.

Menurutnya, gabungan wakil rakyat dan golongan profesional itu menjadi kekuatan baharu Bersatu dalam menawarkan penyelesaian kepada cabaran ekonomi serta kebajikan rakyat.

Seorang lagi wakil teknokrat, Dr Afiq Redzuan berkata, rakyat khususnya golongan B40 dan pekerja ekonomi gig memerlukan penyelesaian berasaskan dasar serta kepakaran bukan retorik politik.

Jurucakap Kumpulan, Muhammad Afiq Redzuan bercakap pada Sidang media tergempar ADUN-ADUN, Ketua-Ketua Bahagian serta Pimpinan Bahagian dalam kalangan golongan orang muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di ANJUM KLCC, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 JUN 2026.

Katanya, penyertaan golongan profesional dalam Bersatu bukan bertujuan mengejar jawatan sebaliknya menyumbang kepakaran bagi membantu negara berdepan cabaran ekonomi semasa.

Dalam perkembangan sama, Ashraf mengumumkan pelancaran Nothing To Hide 3.0 yang akan digerakkan oleh kepimpinan muda Bersatu menerusi siri jelajah ke seluruh negara.

Katanya, program itu akan menjadi platform dialog terbuka bersama rakyat bagi menjawab pelbagai dakwaan terhadap Bersatu, selain menjelaskan pendirian parti mengenai pelbagai isu semasa.

Beliau berkata, kepimpinan muda Bersatu juga mahu membawa pendekatan politik lebih inklusif dengan memberi tumpuan kepada isu kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum.

“Bukan soal Melayu melawan Cina atau kaum lain. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita menangani jurang sosial, meningkatkan peluang pendidikan dan memastikan setiap rakyat memperoleh peluang yang sama untuk membina kehidupan yang lebih baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast