Nga Kor Ming menyampaikan cek kepada kerajaan negeri pada Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 Tahun 2026 di Flat Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kecewa apabila jemputan rasmi kepada Menteri Besar Johor dan Exco kerajaan negeri ke Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 di Taman Ungku Tun Aminah, di sini hari ini tidak disambut.

Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, jemputan itu supaya pihak kementerian dengan kerajaan negeri bersama-sama menunjukkan keprihatinan kepada rakyat menerusi program yang dianjurkan.

Beliau memberitahu, surat dan jemputan rasmi kepada Menteri Besar Johor dan juga Exco kerajaan negeri dihantar pada Isnin lalu untuk turut sama dengan lawatan Sentuhan Kasih KPKT 4.0 itu.

“Saya rasa amat terkilan sekali apabila jemputan tidak disambut kerana mengikut adat Melayu, orang berbudi kita berbahasa. Okey, datang pun tak datang, jawab pun tak jawab, sambut pun tak sambut.

“Sebab itu, kita harus memilih pemimpin yang rendah hati, yang berjiwa rakyat, yang berjiwa besar. Bila Menteri Persekutuan datang, tidak ada yang datang sambut dan dilayan, ini bukan budaya Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 di Taman Ungku Tun Aminah, di sini hari ini.

Kor Ming berkata, adalah sangat penting di mana kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan akrab dan rapat supaya kita bersama-sama dapat menyejahterakan rakyat.

Katanya, apabila kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sehaluan, sebarang peruntukan yang diturunkan dapat dilaksanakan dengan cepat, tepat dan rakyat akan menikmati manfaat yang telah disalurkan.

Keadaan itu katanya, amat kritikal di Johor yang merupakan gerbang pintu masuk utama negara serta berpotensi menjadi hab ekonomi utama Malaysia.

“Saya berdoa Johor akan menjadi negeri yang sehaluan bersama dengan Kerajaan Persekutuan supaya senang untuk kita bekerja, untuk berbakti, untuk kita berjasa.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dan cakna untuk mengorak langkah bersama-sama rakyat Johor. Kita patut menjaga keharmonian masyarakat dan mempertahan kestabilan politik supaya nilai ringgit kita kekal kukuh dan ekonomi kita boleh berkembang,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast