KUALA LUMPUR – Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Malaysia, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan menggesa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar supaya menguatkuasakan disiplin gabungan secara adil dan konsisten terhadap semua parti komponen bukan hanya menegur pihak tertentu.
Beliau berkata, prinsip menghormati keputusan yang dibuat menerusi mekanisme rasmi PN sememangnya wajar dipertahankan namun pelaksanaannya perlu dilakukan tanpa pilih kasih bagi memastikan kredibiliti kepimpinan gabungan terus terpelihara.
“Saya mengambil maklum kenyataan media Pengerusi Perikatan Nasional yang menekankan soal disiplin gabungan dan penghormatan terhadap keputusan yang dibuat melalui mekanisme rasmi.
“Prinsip tersebut sememangnya wajar dipertahankan. Namun, ia hendaklah dilaksanakan secara konsisten dan bukan secara terpilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sanjeevan mempersoalkan mengapa hanya pemimpin Bersatu ditegur sedangkan Presiden Pas serta beberapa pimpinan parti itu sebelum ini turut berkali-kali membuat kenyataan terbuka mengenai urusan PN.
Katanya, perkara berkaitan gabungan berkenaan sepatutnya diputuskan melalui saluran rasmi dan bukannya diumumkan secara terbuka sebelum mendapat persetujuan Majlis Tertinggi PN.
“Apakah locus standi Presiden Pas untuk membuat kenyataan bagi pihak PN atau mengumumkan perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa Majlis Tertinggi PN?
“Jika sesuatu perkara belum diputuskan oleh mekanisme rasmi gabungan, tiada mana-mana individu mempunyai locus standi untuk bercakap atau bertindak seolah-olah mewakili keputusan PN,” ujarnya.
Beliau berkata, kegagalan mengambil pendekatan yang sama terhadap semua pihak hanya akan menimbulkan persepsi bahawa disiplin dalam PN sedang dikuatkuasakan secara selektif.
Sehubungan itu, Sanjeevan berkata, seorang pemimpin perlu berani menegakkan prinsip secara adil, saksama dan tanpa memilih bulu sekiranya benar-benar mahu mempertahankan disiplin dalam gabungan.
“Jika Dr Samsuri benar-benar mahu mempertahankan disiplin PN maka tegurlah juga presiden dan pimpinan Pas yang berulang kali membuat kenyataan terbuka mengenai urusan PN.
“Keberanian sebenar bukan menegur pihak tertentu sahaja, tetapi bertindak adil terhadap semua,” katanya.
Terdahulu, Samsuri mengingatkan semua parti komponen PN supaya menghormati disiplin organisasi serta keputusan yang dibuat menerusi mekanisme rasmi gabungan.
Ini susulan kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mempersoalkan tindakan PN menerima Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai anggota baharu gabungan itu.
Ahmad Faizal sebelum ini mendakwa kemasukan PCM, yang kini diterajui kem Datuk Seri Hamzah Zainudin dibuat ketika PN masih berdepan isu dalaman membabitkan hubungan antara Bersatu dan Pas selain mempersoalkan proses permohonan parti itu untuk menyertai gabungan berkenaan. – MalaysiaGazette
















