SETIAP kali pelajar baharu melangkah masuk ke universiti, suasananya pasti penuh dengan rasa gembira, bangga dan teruja. Namun, di sebalik kegembiraan itu, ada juga pelajar yang hadir dengan pelbagai kebimbangan.
Ada yang risau tentang yuran pendaftaran, kos makan minum, tempat tinggal, pengangkutan dan keperluan asas untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.
Bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), setiap pelajar yang menerima tawaran masuk bukan sekadar nama dalam senarai pendaftaran. Mereka ialah anak muda yang membawa harapan keluarga, impian masa depan dan potensi besar untuk
berjaya.
Oleh itu, UKM percaya bahawa tiada pelajar harus tercicir hanya kerana masalah kewangan atau kekurangan sokongan pada awal pengajian.
Atas semangat inilah, Pusat Hal Ehwal Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (HEP-UKM) memperkenalkan inisiatif “Tiada Yang Tertinggal”. Inisiatif ini membawa mesej yang jelas, iaitu UKM sentiasa bersedia membantu pelajar yang memerlukan,
khususnya dalam aspek kebajikan, bantuan kewangan dan yuran pendaftaran.
Matlamatnya mudah tetapi sangat penting: memastikan pelajar dapat memulakan pengajian dengan lebih tenang dan tidak merasa keseorangan.
Hakikatnya, kehidupan sebagai mahasiswa bukan hanya tentang kuliah, tugasan dan peperiksaan. Ramai pelajar juga perlu memikirkan soal kewangan harian.
Bagi sesetengah keluarga, kos permulaan untuk masuk ke universiti boleh menjadi beban yang besar.
Ada pelajar yang mungkin perlu menunggu pinjaman atau bantuan lain diluluskan. Ada juga yang menghadapi masalah keluarga, kesihatan atau musibah yang tidak dijangka. Dalam keadaan seperti ini, bantuan awal daripada universiti boleh memberi kelegaan yang besar.
Melalui inisiatif ini, HEP-UKM mahu memastikan pelajar tahu mereka mempunyai tempat untuk mendapatkan bantuan.
Kadangkala pelajar bukan tidak mahu meminta pertolongan, tetapi mereka tidak tahu saluran yang betul. Ada juga
yang malu untuk bertanya atau bimbang masalah mereka tidak dilayan.
Sebab itu, HEP-UKM mengambil langkah memperjelas saluran bantuan supaya pelajar boleh terus berhubung dengan pihak yang berkaitan.
Antara saluran bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar UKM ialah Tabung Amanah Zakat UKM dan Tabung Kebajikan Pelajar UKM. Tabung Amanah Zakat UKM disediakan untuk pelajar Muslim sepenuh masa dan kakitangan UKM yang
memenuhi syarat kelayakan.
Bantuan yang disediakan termasuk bantuan umum pelajaran, bantuan musibah, bantuan perubatan, bantuan mualaf dan bantuan mobiliti.
Sementara itu, Tabung Kebajikan Pelajar UKM pula terbuka kepada pelajar tempatan yang layak, termasuk pelajar prasiswazah dan pascasiswazah.
Bantuan ini merangkumi bantuan sara hidup, yuran tertunggak, latihan amali, alat sokongan dan kes-kes khas seperti bencana atau kemasukan wad.
Apa yang penting, bantuan kebajikan bukan sekadar soal wang. Ia juga berkait dengan rasa selamat, maruah diri dan keyakinan pelajar untuk meneruskan pengajian. Apabila seorang pelajar dibantu pada saat dia benar-benar memerlukan,
bantuan itu boleh menjadi sebab untuk dia terus kuat, terus hadir ke kuliah dan terus percaya bahawa masa depannya masih cerah.
Inisiatif “Tiada Yang Tertinggal” menunjukkan bahawa UKM bukan hanya tempat untuk belajar, tetapi juga tempat yang menyantuni mahasiswa sebagai manusia.
Universiti tidak seharusnya hanya dilihat melalui pencapaian akademik, penyelidikan atau kedudukan ranking semata-mata. Universiti juga perlu dilihat melalui cara ia menjaga kebajikan pelajarnya, terutama mereka yang sedang berusaha mengubah kehidupan diri dan keluarga melalui pendidikan.
Dalam semangat Malaysia Madani, usaha ini selari dengan nilai ihsan, keadilan sosial dan kesejahteraan. Pendidikan tinggi perlu terus menjadi ruang yang terbuka kepada semua, bukan hanya kepada mereka yang berkemampuan.
Setiap pelajar yang berjaya masuk ke universiti membawa potensi besar. Potensi itu perlu dipelihara supaya mereka tidak berputus asa hanya kerana cabaran kewangan.
Justeru, pelajar UKM yang memerlukan bantuan digalakkan untuk tampil mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi HEP-UKM iaitu Unit Kebajikan dan Penajaan melalui talian 03-8921 3229 / 3573 / 4534 atau e-mel [email protected].
Dalam masa yang sama, seluruh warga UKM juga perlu memainkan peranan. Pensyarah, felo kolej, persatuan pelajar, alumni dan rakan sebaya boleh membantu mengenal pasti pelajar yang mungkin memerlukan sokongan.
Ada pelajar yang tidak bersuara, bukan kerana mereka tidak susah, tetapi kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk meminta bantuan.
Sebagai Universiti Watan, UKM berpegang kepada semangat Ilmu, Mutu dan Budi. Melalui inisiatif “Tiada Yang Tertinggal”, semangat ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang dekat dengan kehidupan mahasiswa.
Akhirnya, kejayaan mahasiswa bukan hanya bermula pada hari mereka menerima tawaran masuk ke universiti.
Kejayaan sebenar ialah apabila mereka mampu terus melangkah, bertahan dan menamatkan pengajian dengan yakin. Selagi ada mahasiswa yang memerlukan sokongan, selagi itulah UKM akan terus berusaha memastikan tiada yang tertinggal.
Oleh Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman,
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal
















