Menteri Besar Johor yang juga calon Barisan Nasional N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazali bersama calon Barisan Nasional N.15 Maharani, Datuk Ashari (depan) bergambar bersama penyokong ketika hadir ke perjumpaan bersama masyarakat Dun Maharani sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Parit Raja, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2026.

MUAR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani perlu dipastikan kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 selepas empat penggal berada di bawah pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tempoh empat penggal itu disifatkan terlalu lama sehingga menafikan nikmat pembangunan yang seharusnya dinikmati penduduk DUN Maharani.

Sehubungan itu, ujarnya, PRN Johor kali ini dilihat waktu paling tepat untuk penduduk DUN Maharani memberikan kepercayaan semula kepada BN memandangkan pelbagai pembangunan sudah dirancang di kawasan itu demi kesejahteraan mereka.

Menteri Besar Johor yang juga calon Barisan Nasional N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazali berucap ketika hadir ke perjumpaan bersama masyarakat Dun Maharani sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Parit Raja, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2026.

Antaranya, kata beliau, projek Maharani Energy Gateway (kini dikenali sebagai Maharani Freeport) yang dilancarkan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim baru-baru ini.

“Banyak inisiatif atau limpahan yang akan dibawa menerusi projek ini antaranya peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Walaupun negeri Johor kita lihat membangun secara pesat ekonominya, pelaburannya dan hasil negeri meningkat, kita tidak pernah lupakan untuk memulangkan kembali kepada bangsa Johor,” katanya.

Beliau berucap pada program bersama masyarakat DUN Maharani dalam siri kempen PRN Johor ke-16, yang turut dihadiri calon BN, Datuk Ashari Md Sarip.

Maharani Freeport merupakan pembangunan hab tenaga dan pelabuhan laut dalam yang dibangunkan di atas tiga pulau buatan manusia seluas 1,295 hektar dan disasarkan menarik pelaburan bernilai sehingga RM144 bilion.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas program tersebut, Onn Hafiz berkata, projek Maharani Freeport itu sendiri memperlihatkan bahawa kerajaan negeri tidak menganaktirikan mana-mana wilayah dalam dasar dan pembangunannya seperti didakwa sesetengah pihak.

Malah, menurut beliau, kerajaan negeri turut memperkenalkan dasar Johor Economic Transformation Plan (JETP) yang akan melihat kepada pembangunan lebih menyeluruh, di mana setiap daerah mempunyai fokus masing-masing.

“Jadi, saya yakin bahawa di peringkat warga Johor, bila kita lihat ekonomi Johor semakin meningkat, limpahan ekonomi itu benar-benar dapat dirasai oleh bangsa Johor, terutamanya melalui bantuan-bantuan Kasih Johor.

“Jadi, apa yang dicanang oleh mereka itu (pembangunan tidak seimbang) adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Calon Barisan Nasional N.15 Maharani, Datuk Ashari bersorak ketika hadir ke perjumpaan bersama masyarakat Dun Maharani sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Parit Raja, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2026.

Pada PRN kali ini, Ashari akan cuba merampas DUN Maharani dalam persaingan empat penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Taqiuddin Cheman; Mohamad Anuar Hayan (Perikatan Nasional) dan Muhammad Amir Fikri (MUDA).

Kali terakhir calon BN menang di DUN Maharani adalah pada PRN ke-11 (2004) menerusi calonnya, Mohd Ismail Mohd Shah sebelum kerusi itu bertukar tangan antara calon Pas yang bertanding atas tiket Pakatan Rakyat pada 2008 dan 2013, serta calon PH (2018) dan PN (2022). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast