Calon PH N.54 Pulai Sebatang, Haniff @ Ghazali Hosman bercakap kepada media ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pasar Tani Stadium Mini Pontian, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 JULAI 2026.

PONTIAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, Haniff Hosman berjanji akan memberi keutamaan kepada penyelesaian isu rakyat termasuk pampasan pembinaan Jambatan Pontian Kecil dan masalah banjir sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, sepanjang lima hari berkempen, dua perkara itu merupakan antara aduan yang paling kerap diterima daripada penduduk ketika menyantuni pengundi di seluruh kawasan DUN berkenaan.

Menurutnya, masih terdapat penduduk yang belum menerima pampasan walaupun rumah mereka telah diambil bagi memberi laluan kepada projek pembinaan Jambatan Pontian Kecil.

Selain itu, katanya, masalah tali air yang tersumbat turut menjejaskan kawasan pertanian dan mengundang risiko banjir setiap kali musim hujan.

“Alhamdulillah, hari ini masuk hari kelima kita berkempen. Setakat ini jadual kempen berjalan lancar dan sambutan terutama di kawasan bandar amat menggalakkan.

“Selepas ini kita akan memberi tumpuan ke kawasan kampung dengan pendekatan kempen dari rumah ke rumah mengikut kekuatan jentera yang ada,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas program walkabout di Pasar Tani Stadium Mini Pontian, hari ini.

Calon PH N.54 Pulai Sebatang, Haniff @ Ghazali Hosman beramah mesra dengan penduduk setempat ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pasar Tani Stadium Mini Pontian, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 JULAI 2026.

Haniff berkata, setiap aduan yang diterima akan diberi perhatian serius sekiranya beliau dipilih mewakili rakyat di DUN Pulai Sebatang.

“Isu pampasan ini perlu diselesaikan dengan baik kerana ada penduduk yang masih menunggu hak mereka. Begitu juga masalah tali air yang perlu dibersihkan dan diselenggara supaya aliran air kembali lancar sekaligus mengurangkan risiko banjir.

“Ini bukan isu kecil kerana ia memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk, khususnya golongan petani yang bergantung kepada hasil pertanian sebagai sumber pendapatan,” tegasnya lagi.

Mengulas pertandingan dua penjuru menentang Barisan Nasional (BN), Haniff berkata, beliau tidak mahu menjadikan parti lawan sebagai fokus utama kempen.

Sebaliknya, beliau berkata, perjuangannya adalah membawa pentadbiran yang telus, berintegriti serta bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya bukan datang untuk melawan mana-mana parti. Saya datang untuk memperjuangkan tadbir urus yang baik, menentang rasuah dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa didahulukan,” katanya.

Beliau yang merupakan anak jati Pontian berkata, amanah terbesar sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat adalah memastikan setiap masalah yang dihadapi penduduk dapat diselesaikan tanpa mengira sama ada kecil atau besar.

“Kita mahu membawa pembangunan Madani yang lestari, seimbang dan berteraskan ihsan tanpa meminggirkan golongan petani dan nelayan yang menjadi antara tunjang ekonomi kawasan ini.

“Itulah amanat yang sentiasa ditekankan kepimpinan parti iaitu mendengar, memahami dan menyelesaikan masalah rakyat sebaik mungkin,” katanya.

Calon PH N.54 Pulai Sebatang, Haniff @ Ghazali Hosman beramah mesra dengan penduduk setempat ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pasar Tani Stadium Mini Pontian, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 JULAI 2026.

Dalam pada itu, Haniff berkata, rakyat Johor juga perlu melihat kepada pencapaian kerajaan sedia ada yang menurutnya berjaya meletakkan negeri itu pada landasan pertumbuhan ekonomi yang kukuh hasil kestabilan pentadbiran serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja berjaya menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu, malah membolehkan lebih ramai anak Johor bekerja di negeri sendiri tanpa perlu berhijrah ke Kuala Lumpur atau Singapura seperti sebelum ini.

“Jika dahulu ramai anak Johor terpaksa keluar mencari rezeki, hari ini semakin banyak syarikat besar membuka operasi di Johor. Ini memberi peluang kepada rakyat bekerja lebih dekat dengan keluarga masing-masing.

“Saya percaya momentum ini perlu diteruskan supaya lebih banyak manfaat dapat dirasai rakyat di seluruh Johor, termasuk di Pulai Sebatang,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu dapat dilihat menerusi peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor yang mencecah RM158 bilion pada 2024, meningkat kira-kira 56 peratus berbanding 2015.

Sehubungan itu, Haniff berkata, sekiranya diberi mandat oleh pengundi, beliau mahu memastikan pelbagai isu yang membelenggu penduduk Pulai Sebatang serta keperluan pembangunan setempat dapat diselesaikan melalui kerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Apabila ada kesepaduan antara wakil rakyat, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, urusan membabitkan pembangunan serta kebajikan rakyat dapat dipercepatkan.

“Saya mahu menjadi jambatan antara rakyat dengan kerajaan supaya setiap isu yang dibangkitkan bukan sahaja didengar, malah diselesaikan.

“Matlamat saya adalah memastikan rakyat Pulai Sebatang menerima manfaat pembangunan secara adil dan menyeluruh,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast