Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.47 Kempas, Datuk Ramlee Bohani bercakap kepada MalaysiaGazette selepas melakukan walkabout dan menyantuni pengundi di Pasar Malam Taman Dahlia, Kempas, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) N.47 Kempas, Datuk Ramlee Bohani mempertahankan pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) dengan menegaskan inisiatif itu bukan ‘gula-gula politik’ sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau menegaskan, bantuan tersebut telah dilaksanakan sejak awal pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan bukannya diperkenalkan ketika musim pilihan raya.

“Jumlah kumpulan penerima BKJ turut diperluaskan sekitar enam atau tujuh kategori kepada 21 kategori yang memberi manfaat kepada lebih 600,000 penerima di seluruh Johor.

“Kalau BKJ ini sekadar gula-gula politik, sudah tentu semua bantuan disampaikan sebelum hari mengundi.

“Sebaliknya, kerajaan negeri masih membuka tempoh rayuan selepas pilihan raya, iaitu bermula 1 hingga 14 Julai, bagi mereka yang tercicir daripada senarai penerima,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas melakukan walkabout dan menyantuni pengundi di Pasar Malam Taman Dahlia, di sini, hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.47 Kempas, Datuk Ramlee Bohani menyantuni pengunjung Pasar Malam di Taman Dahlia, Kempas, Johor Bahru, hari ini.

Ramlee juga menggesa mana-mana rakyat Johor yang belum menerima BKJ supaya mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan bagi membolehkan permohonan mereka dipertimbangkan.

“Kerajaan negeri akan terus memberi fokus kepada usaha memperkukuh kebajikan rakyat Johor tanpa dipengaruhi dakwaan politik yang dibangkitkan pihak lawan,” katanya

Ketika ditanya mengenai usaha Kerajaan Persekutuan yang menurunkan harga diesel menerusi BUDI Diesel bermula 1 Julai 2026, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

“Mengenai Budi Madani, saya tak nak komen perkara itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast