JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor didakwa gagal menunaikan janji dalam manifesto lama dan kini tampil dengan janji baharu yang lebih besar dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, malah sehingga kini BN masih tidak menerbitkan kad laporan lengkap yang memaklumkan janji yang sudah dan belum lagi ditunaikan.
“Lebih empat tahun selepas BN memperoleh mandat melalui Ikhtiar BN Johor 2022, rakyat masih belum melihat kad laporan lengkap yang menyatakan janji mana telah ditunaikan, mana masih tertangguh dan mana telah dilupakan.
“Lebih menghairankan, BN Johor kini tampil dengan 63 tekad baharu berserta angka yang jauh lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada 2022, BN menjanjikan 100,000 peluang pekerjaan tetapi dalam Belanjawan Johor 2026 hanya merekodkan lebih 64,000 dan kini menjanjikan pula 200,000 peluang pekerjaan baharu.
Dalam isu perumahan katanya, hanya 21,412 daripada sasaran 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor dilaporkan siap dan diserahkan setakat suku pertama 2026, tetapi BN sudah mahu menjanjikan 70,000 unit tambahan.
“Janji lama belum selesai, janji baharu sudah dilambakkan. Adakah BN menyangka rakyat Johor mudah diperbodohkan dengan janji bulan dan bintang serta angka yang semakin besar setiap kali pilihan raya?.
“Kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Sekiranya Datuk Onn Hafiz mahu membandingkan rekod, beliau perlu berlaku jujur,” katanya.
Beliau memberitahu, rekod rasmi Dewan Negeri Negeri (DUN) Johor pada Disember 2018 menyatakan bahawa kerajaan PH Johor sudah melaksanakan kesemua 10 janji dalam tempoh 100 hari.
“Antaranya ialah pemberian 10 meter padu air percuma kepada golongan B40, Kad Sihat, diskaun tunggakan sewa Program Perumahan Rakyat (PPR), Insentif Harapan Siswa, Skim Takaful Warga Emas, kursus kahwin percuma dan pengecualian bayaran lesen penjaja kecil,” katanya.
PH katanya, bukan sekadar melancarkan manifesto, malah melaksanakan tawaran yang dijanjikan dalam tempoh yang ditetapkan.
Beliau mempersoalkan sama ada kad laporan setara boleh dikemukakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas lebih empat tahun memerintah.
Kerajaan BN Johor katanya, masih berhutang jawapan tentang baki sasaran pekerjaan dan perumahan serta status Program Makanan Berkhasiat untuk pelajar Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), Institut Wanita Johor, rumah transit, skim sewa untuk beli dan kenaikan elaun imam, bilal, noja serta siak.
Jelasnya, pengumuman pelaburan dan pelancaran projek tidak boleh menggantikan audit menyeluruh terhadap janji yang digunakan untuk meraih sokongan rakyat.
“Datuk Onn Hafiz boleh terus menyindir PH, tetapi sindiran itu hanya memakan diri selagi kad laporan Ikhtiar BN Johor masih disorokkan.
“Cermin diri dahulu sebelum mengajar orang lain tentang amanah. Bentangkan kad laporan, jawab janji lama dan biarkan rakyat Johor menilai siapa sebenarnya yang cakap tidak serupa bikin,” katanya.
Padan28 Jun lalu, Onn Hafiz dilaporkan berkata, PH tidak seharusnya menabur janji baharu sedangkan janji dalam manifesto lama masih tidak mampu ditunaikan.
Pengerusi BN Johor itu berkata, amat mudah menabur janji dalam manifesto baharu berbanding melaksanakannya.- MalaysiaGazette
















