KUALA LUMPUR – Pengundi Cina diminta menolak 15 calon parti Bersama yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana kehadiran parti itu didakwa hanya akan memecah-belahkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tebrau, Jalex Lee En Xiang berkata, pendekatan parti Bersama ketika ini dilihat lebih tertumpu kepada usaha meraih sokongan pengundi Cina dengan mengetengahkan pelbagai isu berkaitan masyarakat itu.
Beliau yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis berkata, keutamaan PH pula adalah membentuk kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan Johor dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kita boleh nampak parti Bersama mahu meraih pengundi Cina apabila banyak kenyataan yang mereka keluarkan memberi fokus kepada isu masyarakat Cina.
“Tetapi objektif PH adalah untuk menjadi kerajaan negeri demi memberikan manfaat terbaik kepada seluruh rakyat Johor kerana kerajaan negeri yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan akan memudahkan agenda pembangunan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri berpandangan gerak kerja Bersama berpotensi memberi manfaat kepada Perikatan Nasional (PN) dengan menarik sokongan pengundi progresif dan memecahkan undi bukan Melayu.
Menurutnya, situasi itu sekali gus boleh membuka ruang kepada kemenangan PN terutama di kawasan campuran.
Mengulas lanjut, Jalex berkata, jentera PH akan bekerja keras untuk memenangi lebih banyak kerusi pada PRN Johor kali ini bagi membolehkan sebuah kerajaan negeri yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan dibentuk.
“Kita berharap Johor akan mempunyai kerajaan negeri yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















