Dzulhilmi Zainol
Dzul Hilmi Zainol

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu Datuk Seri Rafizi berterus-terang mengenai jumlah Ahli Parlimen PKR yang masih menyokongnya susulan terdapat khabar angin mengatakan daripada 10 orang, kini separuh sudah tidak bersama beliau.

Exco AMK Malaysia, Dzul Hilmi Zainol berkata, jika Rafizi benar-benar mempunyai pengaruh besar seperti yang sering digambarkan, beliau sepatutnya masih mampu mengekalkan sokongan sekutu politiknya.

Malah, katanya, orang yang sebelum ini dilihat sebagai ‘orang kuat’ Rafizi juga tidak kelihatan turun membantu kempen Parti Kancil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Mungkin sudah tiba masanya Rafizi menerima satu hakikat yang pahit, selama ini beliau kelihatan besar kerana berdiri di atas pentas sebuah parti yang besar.

“PKR memberinya jentera, akar umbi, ruang dan kedudukan. PKR juga yang membawa namanya ke setiap pelosok negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Rafizi perlu memahami bahawa populariti di media sosial tidak boleh diterjemahkan secara automatik kepada kekuatan politik sebenar.

“Angka di media sosial bukan jentera pilihan raya. Podcast bukan cawangan parti. ‘Like’ dan ‘share’ bukan undi, dan keyakinan bahawa hanya dirinya sahaja yang betul bukanlah satu formula mentadbir negara,” katanya.

Dzul Hilmi berkata, PKR dibina hasil perjuangan panjang, pengorbanan reformis, kesetiaan akar umbi dan kepercayaan rakyat, malah parti itu pernah berdepan pelbagai cabaran yang lebih besar daripada seorang individu.

“Jadi mesej saya kepada Rafizi sangat mudah. Rafizi pernah berada dalam PKR, tetapi Rafizi bukan PKR.

“PKR membantu membesarkan nama Rafizi. Jangan sampai Rafizi tersilap menyangka bahawa Rafizi yang membesarkan PKR,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Rafizi supaya mendedahkan jumlah sebenar Ahli Parlimen PKR yang masih menyokong beliau secara terbuka jika benar bekas Timbalan Presiden PKR itu masih mempunyai pengaruh besar.

“Dalam politik, dakwaan boleh dibuat setiap hari, tetapi apabila satu demi satu sekutu mula menjauh, rakyat juga boleh melihat siapa sebenarnya yang semakin kehilangan pengaruh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast