Praktikal Pemasangan Sistem Hidroponik bersama pelajar.

KUALA LUMPUR -Pendedahan teknologi hidroponik sejak di bangku sekolah mampu menyemai minat generasi muda terhadap sektor agro sejak di bangku sekali gus melahirkan lebih ramai pelapis yang celik teknologi dalam bidang pertanian.

Inisiatif itu diterjemahkan menerusi penganjuran program Inspirasi Kasih: Mahasiswa Prihatin 2.0 (IKMP 2.0) oleh sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sekolah Kebangsaan Sri Pantai, baru-baru ini.

Felo Pemantau KKTM UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Nur Fadilah Darmansah berkata, melalui program tersebut murid berpeluang mempelajari konsep penanaman tanpa tanah selain mengendalikan sendiri sistem hidroponik yang akan terus dimanfaatkan oleh pihak sekolah.

“Menerusi Bengkel Teori dan Praktikal Pemasangan Sistem Hidroponik ini, murid turut didedahkan kepada teknik penanaman tanpa tanah, manakala sukarelawan membantu memasang sistem hidroponik bagi membolehkan ia dimanfaatkan secara berterusan oleh pihak sekolah.

“Selain bengkel hidroponik, program ini juga merangkumi aktiviti gotong-royong termasuk kerja mengecat surau, dewan makan dan tandas asrama sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, program itu turut dijayakan dengan kerjasama U-Science UMS dan Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI).

Katanya, ia bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dan SDG 10 (Mengurangkan Ketidaksamaan), menerusi pemerkasaan teknologi pertanian moden di komuniti luar bandar.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan, seramai 40 murid daripada keluarga B40 menerima sumbangan set alat tulis.

Manakala pihak sekolah turut menerima sebuah televisyen pintar bagi menyokong pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berasaskan teknologi.

Terdahulu, majlis penutupan program disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Lahad Datu (Sektor Pembangunan Murid), Lajarudi Lajahidi.

Untuk rekod, penganjuran IKMP 2.0 mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui pemindahan ilmu, teknologi dan kebajikan, sekali gus menyokong pembangunan pendidikan serta kesejahteraan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast