Calon MUDA N.41 Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied bercakap pada sidang media mengenai masalah terbesar rakyat Johor di Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Johor mempersoalkan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya tidak menyentuh langsung isu banjir, perubahan iklim dan alam sekitar.

Calon MUDA bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied berkata, ketiadaan agenda berkaitan banjir dalam manifesto PH menunjukkan gabungan itu tidak memahami keutamaan rakyat Johor.

“Jika penulis manifesto PH benar-benar memahami suara rakyat Johor, mereka pasti sedar bahawa banjir yang semakin kerap berlaku telah menyebabkan kerugian besar kepada penduduk.

“Tidak ada satu perkataan banjir, iklim dan alam sekitar pun di dalam manifesto Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan di Puteri Wangsa bersama-sama penyandang kerusi itu, banjir menjadi antara isu utama yang memerlukan perhatian berterusan kerana boleh berlaku bukan sahaja ketika musim tengkujuh, malah ketika hujan lebat dan air pasang.

Katanya, lebih 8,000 mangsa banjir dibantu di kawasan tersebut, selain jumlah lokasi panas banjir di Johor turut meningkat daripada kira-kira 745 kepada 874 lokasi.

Rashifa turut memaklumkan bahawa penyandang DUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz, yang juga anggota Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Johor, sentiasa membawa isu banjir dan langkah mitigasi di peringkat dasar.

Sehubungan itu, beliau berpendapat kegagalan PH memasukkan agenda berkaitan perubahan iklim dan pengurusan banjir dalam manifesto menunjukkan gabungan itu tidak memahami keperluan setempat serta belum bersedia menjadi kerajaan negeri yang benar-benar mengutamakan kebajikan rakyat.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast