JOHOR BAHRU – Jentera Pakatan Harapan (PH) mendakwa telah meliputi kira-kira 90 peratus kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas selepas memasuki hari ke-11 tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon PH bagi kerusi N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd. Puad berkata, kempen yang dijalankan setakat ini telah menjangkau pelbagai kelompok masyarakat termasuk pengundi muda, wanita, penjaja, peniaga serta masyarakat pelbagai kaum.
Menurutnya, sambutan yang diterima di lapangan juga amat menggalakkan dengan ramai pengundi menyatakan sokongan secara terbuka kepada PH.
“Daripada segi sambutan di lapangan, respons yang kita terima sangat positif dan ramai menyatakan sokongan secara terbuka kepada PH,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Terdahulu, Faezuddin meninjau proses pengundian awal PRN Johor bagi kerusi N.47 Kempas di Balai Polis Kempas.
Mengulas saingan di kerusi itu, beliau berkata, pihaknya tidak memandang rendah mana-mana calon yang bertanding kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri untuk meraih sokongan pengundi.
“Walaupun berdepan jentera parti-parti lain yang turut bekerja keras, kami tidak memandang rendah mana-mana lawan. Malah kami akan terus memperhebatkan kempen sehingga hari pengundian pada 11 Julai ini,” katanya.
Dalam pada itu, Faezuddin menyeru seluruh pengundi di DUN Kempas supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Sabtu ini.
“Saya menggesa semua pengundi DUN Kempas agar keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon PH pada hari pengundian, Sabtu ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















