KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan di sebuah hotel di Sunway Mentari, Petaling Jaya pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat pertama mengenai penemuan mangsa yang tidak sedarkan diri kira-kira pukul 11.23 malam, kelmarin.
“Sepasukan polis yang bergegas ke lokasi mendapati mangsa telah meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada tubuh badan si mati. Siasatan awal mengenal pasti mangsa sebagai seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, beberapa barangan turut dirampas di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Katanya, bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat hentakan objek tumpul pada beberapa bahagian badan.
Menurut Shamsudin lagi, pihaknya telah menahan reman selama tujuh hari terhadap dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an dan 30-an bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod lampau. Permohonan reman telah dibuat pada 10 Julai dan Mahkamah Majistret membenarkan tahanan reman selama tujuh hari sehingga 16 Julai ini,” ujarnya.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang giat mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, ASP Fandhi Fatullah Abu Bakar di talian 014-6303090 bagi membantu siasatan.
Pada masa sama, orang ramai turut dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan bahan berkaitan kes di mana-mana platform media sosial yang boleh menimbulkan spekulasi sehingga menjejaskan siasatan polis. – MalaysiaGazette
















