ARBONNE-la-FORET – Pihak berkuasa Perancis mengerahkan dua pesawat pemadam kebakaran ke wilayah Paris pada Ahad selepas kebakaran besar tercetus di selatan ibu negara, sekali gus mengganggu aliran trafik ketika musim cuti panas yang sibuk.
Kebakaran yang disifatkan pihak berkuasa sebagai “amat ganas” dan “berskala luar biasa” itu bermula lewat petang di Hutan Fontainebleau, kira-kira 60 kilometer di tenggara Paris.
Kawasan berkenaan yang dahulunya merupakan kawasan perburuan diraja kini dipenuhi perkampungan kecil.
Sehingga awal pagi Isnin, kebakaran telah memusnahkan kira-kira 800 hektar hutan dan masih terus merebak, menyebabkan sebahagian Lebuhraya A6, laluan utama utara-selatan Perancis, ditutup.
Operasi udara turut dihentikan selepas malam menjelang kerana pesawat pemadam kebakaran tidak dapat beroperasi dalam keadaan gelap.
Kira-kira 15 rumah dipindahkan di kampung Vaudoue berhampiran, manakala anggota bomba berusaha mempertahankan beberapa lagi kawasan penempatan daripada dijilat api, menurut Perkhidmatan Bomba Seine-et-Marne.
Penyelaras operasi pemadaman, Olivier Compta berkata, tanpa bantuan pesawat pemadam kebakaran, lebih banyak kampung sudah terpaksa dipindahkan.
Seramai 400 anggota bomba dikerahkan untuk mengawal kebakaran yang tercetus menjelang sambutan Hari Kebangsaan Perancis pada 14 Julai, selain hujung minggu pertama musim cuti musim panas.
Kebakaran itu turut menjejaskan aliran trafik di lebuh raya sekitar kawasan terbabit serta perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi ke tenggara negara.
Jurucakap Persekutuan Bomba Kebangsaan Perancis, Eric Brocardi berkata, ini merupakan kali pertama pesawat pengebom air dari selatan Perancis yang lazimnya lebih panas dan kering dihantar untuk memadam kebakaran di wilayah Paris.
Beliau berkata, dua helikopter pemadam kebakaran dan sebuah pesawat pemantau turut membantu operasi memadamkan kebakaran.
“Matlamat utama adalah menyelamatkan nyawa dan harta benda,” katanya.
Sebelum itu, anggota bomba turut mengawal satu lagi kebakaran yang menutup lebuh raya ke arah timur Paris serta mengganggu laluan kereta api laju ke selatan Perancis.
Sementara itu, syarikat kereta api Perancis, SNCF, memaklumkan perkhidmatan keluar dan masuk ke Stesen Gare de Lyon di Paris mengalami kelewatan sehingga enam jam pada Ahad malam.
Wilayah Paris dan sebahagian besar Perancis kini mengalami gelombang haba ketiga sejak Mei, menyebabkan risiko kebakaran hutan meningkat.
Tiga gelombang haba itu telah memecahkan rekod suhu di beberapa negara Eropah dan dianggarkan menyebabkan ribuan kematian berlebihan di Belgium, Britain, Perancis dan Sepanyol.
Kumpulan saintis World Weather Attribution menyatakan gelombang haba pada Jun lalu hampir mustahil berlaku tanpa kesan perubahan iklim.
Beberapa negara Eropah lain turut mencatatkan suhu purata tertinggi dalam sejarah.
Di Perancis, cuaca panas melampau turut memaksa pihak berkuasa menutup operasi tiga loji janakuasa nuklear.
Penganjur perlumbaan berbasikal Tour de France pula memendekkan laluan perlumbaan Ahad sebanyak 30 kilometer apabila suhu di sepanjang laluan hampir mencecah 40 darjah Celsius.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez, yang dijadual melawat Fontainebleau pada hari Isnin berkata, kebakaran hutan telah memusnahkan 17,000 hektar kawasan di negara itu sepanjang tahun ini.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan dijangka meningkat kepada 25,000 hektar selepas semua data dikemas kini, iaitu dua kali ganda berbanding tempoh sama pada 2025. – Agensi
















