Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang juruteknik penghawa dingin maut selepas motosikal yang ditunggangi terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Lebuh Utama, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian yang membabitkan mangsa berusia 18 tahun itu berlaku kira-kira pukul 11.30 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, sebuah kereta yang datang dari arah Jalan Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn memasuki simpang ke Lebuh Utama sebelum bertembung dengan sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun yang bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu kereta, seorang pesara lelaki tempatan berusia 67 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Naazron turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas serta berhati-hati bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast