KUALA LUMPUR – Penyertaan golongan muda dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Ke-40 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2026 membuktikan seni deklamasi puisi kekal relevan meskipun negara kini berada dalam era digitalisasi.
Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, penganjuran sayembara itu menjadi wadah menyemarakkan semangat kebangsaan melalui seni, di samping memupuk kefahaman terhadap peranan sastera dalam pembinaan negara bangsa.

“Sempena Hari Kebangsaan pada setiap tahun perlu ada satu usaha untuk membugar semangat itu dalam bentuk seni yang halus. Jadi ini matlamat utama apabila masa beredar, generasi muda pun muncul.
“Mereka juga tidak boleh dikesampingkan untuk benar-benar faham bahawa sastera juga mempunyai fungsinya dalam pembinaan negara bangsa dan melahirkan rakyat yang patriotik serta nasionalis,” katanya.
Terdahulu, ketika berucap pada perasmian majlis tersebut, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, Nurul Julia Alani Henry berkata, kemerdekaan bukan hanya dikenang melalui sejarah tetapi mesti terus dihidupkan melalui pemikiran bahasa dan budaya.
“Selagi bahasa Melayu dimartabatkan, selagi itulah roh kemerdekaan akan terus berdenyut dalam jiwa rakyat. Warisan Melayu mengingatkan kita bahawa nilai budaya dan jati diri bangsa wajib dipelihara. Dalam konteks hari ini, bahasa dan sastera merupakan antara warisan yang menjadi tunjang kepada kelangsungan tamadun bangsa,” ujarnya.
Sementara itu, Johan SDPK, Muhamad Syahmi Samsuddin, yang mendeklamasikan puisi Jangan Pudarkan Kegemilangan Maruah Nusa karya ibunya, Rohaidah Yon berkata, beliau mengambil masa kira-kira dua bulan untuk memahami, menghayati dan berlatih sebagai persediaan menyertai sayembara itu.
“Saya memang gementar membawa puisi ibu sendiri tetapi atas dorongannya, alhamdulillah saya berjaya. Bahasa dan sastera memang perlu dipupuk sejak kecil lagi.
“Kalau saya boleh, orang lain pun boleh juga kerana bakat itu ada dan hanya perlu dicungkil dan diteruskan supaya bahasa dan sastera tidak terkubur begitu sahaja,” katanya yang turut menerima piala pusingan Sasterawan Negara Usman Awang selain wang tunai dan sijil.
Hadiah naib johan dimenangi oleh Ahmad Syawal Hafris Abdullah, yang mendeklamasi puisi bertajuk Suara Rajawali karya Zaen Kasturi manakala tempat ketiga jatuh kepada Nordiyana Sufffiyah binti Rosli dengan puisi Bacalah Sejarah oleh Sani La Bise.
Tiga peserta menerima hadiah sagu hati iaitu Hariz Saufi Mohd Zamri, Muhammad Aliff Omar Abdul Jalil dan Ahmad Sa’idun Mohd Mokhtar.
Turut berlangsung serentak dengan SDPK Ke-40 Peringkat WP Kuala Lumpur dan Putrajaya ialah SDPK Sekolah Menengah Ke-2 Peringkat WP Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijuarai oleh Adeeb Haikal Muhammad Asri dari SMK Seri Tasik, Kuala Lumpur mendeklamasi puisi Kedaulatan Bangsa oleh Abdul Karim Gullam.
“Kita perlu menghayati sajak, memahami maksudnya dengan betul dan menyampaikannya dengan penuh penghayatan. Saya juga berharap lebih ramai menceburi bidang ini kerana banyak perkara tentang bahasa yang dapat dipelajari,” katanya yang menerima piala pusingan Mohd Khair Ngadiron di samping wang tunai dan sijil.
Manakala naib johan ialah Adyana Nafiesya Ady Rizalman dari Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur (SSemKL) dengan puisi Panji di Ranting Pertiwi karya Nur Najwa Sofea Mohd Zamri manakala tempat ketiga dimenangi oleh Arneismalina Azwen binti Abdullah juga dari SSeMKL yang mendeklamasikan puisi Usai Mengikat Janji Pada Panji oleh Raja Rajeswari Seetha Raman.
Johan kategori sekolah menengah akan mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ke sayembara peringkat kebangsaan pada 18 Julai di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manakala sayembara peringkat kebangsaan Kategori Awam akan berlangsung di Kuching, Sarawak dari 14 hingga 16 Ogos. – MalaysiaGazette
















