Datuk Mahfuz Omar.

KUALA LUMPUR – Kempen berterusan Pas yang memainkan naratif kononnya DAP ancaman kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuktikan parti itu semakin ketandusan modal politik.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar berkata, pendekatan menakut-nakutkan rakyat dengan slogan ‘bahaya DAP’ bukanlah penyelesaian kepada pelbagai isu yang sedang dihadapi rakyat Negeri Sembilan, tapi sekadar mengalih perhatian daripada perkara yang lebih penting.

“Kalau doktor asyik bercakap mengenai penyakit tetapi tidak mahu merawat pesakit, akhirnya penyakit itu tetap tidak sembuh.

“Begitu juga dalam politik. Tugas parti politik bukan sekadar mengenal pasti musuh, tetapi menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, sekiranya DAP benar-benar dijadikan ukuran mutlak dalam politik negara, beliau mempersoalkan mengapa Pas sendiri pernah bekerjasama dengan parti itu sebelum ini.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai tindakan Pas yang bersungguh-sungguh mahu bekerjasama dengan UMNO sehingga sanggup menggesa penyokongnya memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) di beberapa pilihan raya.

“Rakyat hari ini semakin bijak menilai. Mereka mahu melihat konsistensi atau istiqamah serta prinsip dalam berpolitik, bukannya slogan yang berubah mengikut musim pilihan raya,” katanya lagi.

Menurut Mahfuz, PRN Negeri Sembilan sepatutnya menjadi medan persaingan idea dan dasar mengenai siapa yang lebih berupaya membawa kestabilan politik, memperkukuh ekonomi negeri, menyediakan lebih banyak peluang kepada anak muda, meningkatkan mutu pendidikan serta menjaga kebajikan rakyat.

Beliau berkata, Pas dan Perikatan Nasional (PN) juga sewajarnya tampil membentangkan pencapaian ekonomi serta pembangunan negeri-negeri SG4 yang ditadbir gabungan itu sekiranya yakin prestasi mereka lebih baik berbanding Negeri Sembilan.

“Rakyat berhak membuat perbandingan berdasarkan rekod pentadbiran dan pencapaian sebenar, bukannya sekadar retorik politik atau memainkan sentimen terhadap pihak lain,” katanya.

Mahfuz berkata, Negeri Sembilan tidak memerlukan politik kebencian dan permusuhan, sebaliknya memerlukan politik yang matang, berhemah serta memberi harapan kepada rakyat.

“Pas dan BN mahu rakyat takut kepada DAP, manakala PH mahu rakyat yakin kepada masa depan.

“Politik ketakutan tidak mengenyangkan rakyat. Politik yang menawarkan penyelesaian dan harapan itulah yang mampu membina negeri,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast