Logo Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR – Polis menahan lelaki warga asing berusia 20-an yang berkelakuan tidak senonoh di sebuah taman permainan di Cyberjaya, Sepang, Selangor susulan laporan yang dibuat seorang wanita tempatan, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, mengikut laporan pengadu jam 7.18 petang itu, lelaki berkenaan didakwa memasukkan tangan ke dalam seluar dan menggosok kemaluannya secara berulang kali sambil merenung ke arah wanita tersebut.

“Bimbang terhadap keselamatan diri, wanita berkenaan telah mendapatkan bantuan orang awam dan suspek berjaya ditahan oleh beberapa orang awam sebelum diserahkan kepada anggota polis yang tiba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, lelaki tersebut direman empat hari dan siasatan dijalankan bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.

Katanya, Polis Daerah Sepang memandang serius sebarang perlakuan tidak bermoral yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menimbulkan ketakutan kepada masyarakat awam terutamanya wanita dan orang awam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast