KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyasarkan untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini selepas meletakkan calon di 24 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), melebihi jumlah majoriti mudah sebanyak 19 kerusi yang diperlukan untuk mentadbir negeri itu.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu bersedia memikul amanah mentadbir Negeri Sembilan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada pilihan raya tersebut.
Menurut beliau, parti itu bertekad untuk menggunakan kepercayaan rakyat sebaik mungkin demi memastikan kebajikan rakyat terus terbela serta memacu kemajuan negeri berkenaan.
“Insya-Allah, jika diberikan mandat oleh rakyat Negeri Sembilan, Bersatu akan membentuk kerajaan negeri. Bersatu bertekad untuk memanfaatkan mandat ini sebaik mungkin demi kebajikan rakyat dan kemajuan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Muhyiddin turut memaklumkan parti itu akan mengumumkan beberapa tawaran khusus untuk rakyat Negeri Sembilan dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada agenda kempen PRN.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi di negeri berkenaan memberikan kepercayaan kepada calon-calon Bersatu untuk mewakili mereka dan menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Mudah-mudahan mereka semua dengan izin Allah beroleh kemenangan,” katanya. – MalaysiaGazette
















