KUALA LUMPUR – Program Apa Khabar Siswa? yang dijadualkan berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai dekat sini hari ini telah ditukar format kepada program bedah buku susulan polemik yang timbul dalam kalangan mahasiswa berhubung penganjurannya ketika musim peperiksaan akhir.
Seorang pelajar USIM, Muhammad Yusuf Qardawi Ajis berkata, pertukaran itu melibatkan pengisian program dan bukan pembatalan sepenuhnya dengan slot asal dikekalkan pada hari yang sama.
Menurutnya, sebahagian mahasiswa mempersoalkan kewajaran penganjuran program berkenaan yang dijadualkan dihadiri Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pendidikan Tinggi ketika ada pelajar sedang menduduki peperiksaan akhir.
“Pada pandangan saya secara peribadi, program itu tidak menjadi masalah. Namun timbul persoalan dalam kalangan mahasiswa mengenai tujuan sebenar penganjurannya apabila diadakan ketika musim peperiksaan dan hampir dengan pilihan raya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada rakan-rakannya, pihak universiti telah membuat penyesuaian terhadap program tersebut dengan menukar pengisiannya kepada sesi bedah buku.
“Program itu bukan dibatalkan. Nama program dan slot masih ada, cuma pengisian ditukar kepada bedah buku,” katanya.
Mengulas lanjut, Yusuf berkata, isu yang dibangkitkan sebelum ini dianggap telah selesai selepas perubahan dibuat oleh pihak penganjur.
Beliau turut berharap pengisian program yang diteruskan itu memberi tumpuan kepada aspek akademik dan ilmiah serta tidak dikaitkan dengan perkara lain yang boleh menimbulkan persepsi berbeza dalam kalangan mahasiswa.
Terdahulu, tular satu poster program Apa Khabar Siswa? yang mengundang pelbagai reaksi dalam media sosial apabila ia dikaitkan dengan kehadiran pemimpin kerajaan ketika tempoh peperiksaan universiti sedang berlangsung serta Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini. – MalaysiaGazette
















