Sany ketika berucap pada program ‘Kenduri Rakyat dan Ceramah Kelompok’ Pakatan Harapan (PH) di Ulu Senaling, di sini, malam ini.

PILAH – Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mempersoalkan mengapa Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjadi individu yang terlebih dahulu mengumumkan calon Menteri Besar Barisan Nasional (BN) bagi Negeri Sembilan sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh kepimpinan UMNO.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai peranan sebenar Hamzah dalam menentukan keputusan penting membabitkan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Saya nak tanya, Hamzah Zainuddin ini siapa? Mana pergi kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional?

“Lepas Hamzah sebut nak lantik Datuk Jalal sebagai Menteri Besar, barulah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi umumkan Datuk Jalal sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada program ‘Kenduri Rakyat dan Ceramah Kelompok’  Pakatan Harapan (PH) di Ulu Senaling, di sini, malam ini.

Mohd Sany berkata, PH sebaliknya membuat keputusan lebih awal apabila mengumumkan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu diberi mandat sekali lagi membentuk kerajaan negeri.

Menurutnya, walaupun pengumuman itu menjadi bahan sindiran pihak lawan, PH tetap memilih untuk bersikap terbuka mengenai kepimpinan yang akan menerajui negeri.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar pihak yang membangkitkan kemungkinan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya Aminuddin tewas di kerusi Linggi.

Katanya, dakwaan sedemikian jelas menunjukkan kegagalan memahami Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan yang menetapkan seseorang Menteri Besar mestilah beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Beliau mendakwa memainkan naratif sedemikian bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah boleh dianggap tidak menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Apabila mereka sebut Anthony Loke akan jadi menteri besar, mereka menghina Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan kerana syarat Menteri Besar sudah jelas ditetapkan.

“Mereka juga menghina institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta orang Melayu dan orang Islam di negeri ini,” tegasnya.

Pada masa sama, Mohd Sany berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Aminuddin telah memperkenalkan 17 inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada 1 Ogos ini dan memberikan sokongan kepada calon-calon PH bagi memastikan kesinambungan pentadbiran sedia ada.

“Tunaikan kewajipan mengundi dan berikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat di Negeri Sembilan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast