Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Fahmi Fadzil.

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menyeru semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan supaya berkempen secara matang dengan mengetengahkan dasar, rekod pencapaian dan penyelesaian kepada permasalahan rakyat, bukannya memainkan sentimen perkauman dan agama.

Ketua Komunikasi PH, Datuk Seri Ahmad Fahmi Fadzil berkata, setiap warganegara yang layak mempunyai hak untuk memilih kerajaan dalam pilihan raya dan persaingan politik seharusnya berasaskan idea serta tawaran terbaik kepada rakyat.

Menurutnya, cubaan sesetengah pihak memainkan sentimen perkauman sempit dan menyebarkan ketakutan hanya bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar yang dihadapi mereka.

“Apabila sebuah parti tidak yakin dengan rekod dan tawarannya, mereka akan menjual kebencian dan permusuhan. Apabila sebuah parti yakin dengan rekod dan tawarannya, mereka akan menawarkan harapan berdasarkan fakta, janji dan pencapaian.

“Pakatan Harapan memilih untuk menawarkan harapan, bukan kebencian,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, rakyat Negeri Sembilan tidak mahukan politik kebencian yang boleh menghakis keharmonian masyarakat, sebaliknya memerlukan jawapan berhubung isu pekerjaan bergaji tinggi, pemilikan rumah, kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, politik berteraskan kebencian dan ketakutan tidak akan membuka peluang pekerjaan, politik perkauman tidak menurunkan harga barang, manakala fitnah tidak akan membina rumah mampu milik atau membawa masuk pelaburan baharu.

Sehubungan itu, Ahmad Fahmi menyeru semua parti politik mematuhi undang-undang pilihan raya dan memastikan baki tempoh kempen berlangsung secara matang, berilmu serta berasaskan fakta.

“Bertandinglah dengan dasar, bertandinglah dengan rekod dan prestasi. Bawalah cadangan-cadangan dan penyelesaian. Jangan bertanding atas dasar kebencian yang cuba memecahbelahkan ataupun menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata, Negeri Sembilan selama ini dikenali sebagai negeri yang aman dan harmoni, justeru perpaduan yang telah dibina sekian lama tidak seharusnya dirosakkan hanya kerana kepentingan politik.

“Pada PRN, rakyat akan membuat pilihan yang amat besar. Pilihan antara politik yang menyatukan rakyat atau politik yang memecahbelahkan; antara fakta atau fitnah; antara kepimpinan yang bekerja atau politik yang hanya mencipta persepsi dan kebencian.

“Pakatan Harapan akan terus menawarkan politik yang sederhana, inklusif dan menyatupadukan rakyat, apapun kaum, agama dan keturunan. Negeri Sembilan tidak perlukan politik kebencian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast