Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berucap ketika Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur sempena persaraan beliau yang akan berkuat kuasa esok di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, PULAPOL, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – “Saya ingat lagi. Jadi bila temuduga, kita ini tak ada kabel. Kita macam menonong sahaja. Habis temu duga itu, dapat satu surat,” cerita Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay tentang perjalanan kerjayanya dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, semuanya bermula tanpa sebarang perancangan.

Beliau berkata, selepas menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1990, impiannya hanyalah untuk membina kerjaya sebagai pegawai bank dan ketika itu beliau bekerja di sebuah syarikat swasta sementara menunggu peluang berkenaan.

“Saya tak ada niat pun nak masuk polis dan tak minat masuk polis. Fokus saya adalah untuk jadi pegawai bank.

“Tapi ketika itu saya ikut kawan untuk dengan mengambil borang di Ibu Pejabat Polis Kontinjem (IPK) Pulau Pinang dan kami terus pergi temu duga lalu dapat surat sebagai calon simpanan.

“Selepas latihan sampai tiga bulan baru dapat tawaran di bank dan saya fikir baik teruskan dengan keadaan kita sudah lama latihan, tapi itulah rezeki saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini hari ini.

Tambah Ayob Khan, selepas dipanggil melapor diri, beliau perlu menjalani latihan sebagai kadet polis pada 1991 sebelum menyertai Cawangan Khas (SB).

Katanya, pengalaman di SB membuka laluan kepada pelbagai tanggungjawab besar apabila beliau diberi kepercayaan memegang beberapa jawatan penting, termasuk Ketua Polis Johor sebelum dipanggil bertugas di Bukit Aman.

“Sebab itu dalam Islam kita diajar supaya yakin bahawa rezeki bukan ditentukan manusia. Manusia hanya mampu merancang, tetapi Allah SWT yang menentukan segala-galanya. Jangan takut soal rezeki,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan terhadap ketentuan rezeki itu akhirnya membawa beliau menggalas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya sepanjang hampir 35 tahun berkhidmat dalam pasukan Sang Saka Biru.

Terdahulu, Ayob Khan yang akan bersara wajib esok menyerahkan tugas Timbalan Ketua Polis Negara kepada Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Ibrahim Darus yang dilantik sebagai pemangku.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast