Foto: FB Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Pengarah Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari melahirkan keyakinan terhadap kemampuan dan kekuatan Anthony Loke untuk mencipta kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, keyakinan itu meskipun ada pihak yang didakwa mahu `membungkus’ Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP di kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor berkenaan tidak menjelaskan lebih lanjut atau menyatakan pihak yang mahu `bungkus’ Anthony Loke seperti yang dibangkitkan beliau itu.

Tambah Amirudin, Anthony Loke telah membuktikan keupayaannya sebagai seorang pemimpin yang berwibawa melalui rekod perkhidmatan cemerlang di peringkat Persekutuan mahupun khidmat kepada rakyat di kawasan yang diwakilinya.

“Meskipun ada pihak yang nak ‘bungkus’ beliau di Chennah, saya yakin kemampuan dan kekuatan YB Anthony Loke untuk mencipta kemenangan pada 1 Ogos nanti.

“Kepimpinan yang berintegriti, berpengalaman dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat menjadikan beliau calon terbaik untuk terus membawa suara DUN Chennah.

Nismilan elok dah. Kekal Harapan,” katanya menerusi Facebook semalam.

Foto: FB Amirudin Shari

Terdahulu, Amirudin menyertai Anthony Loke dalam sesi minum petang bersama penduduk dari Kampung Teriang dan Kampung Gagu yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

Menurutnya, sesi minum petang itu memperlihatkan suasana muhibah apabila rakyat daripada pelbagai kaum berkongsi semangat yang sama demi masa depan Negeri Sembilan.

“Inilah kekuatan sebenar Negeri Sembilan, perpaduan yang terus dipupuk dalam suasana saling menghormati dan memahami,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, Anthony Loke bertanding mempertahankan DUN Chennah dalam pertarungan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN), Siow Kong Choon.

DUN Chennah antara kerusi yang menjadi perhatian pada PRN Negeri Sembilan kali ini dan dijangka sengit susulan kesepakatan yang dibuat BN bersama Perikatan Nasional (PN) bagi merampas kerusi itu.

Berdasarkan data profil kawasan, DUN Chennah mempunyai seramai 14,422 pengundi dengan jumlah pengundi Melayu sedikit lebih tinggi iaitu 47.8 peratus berbanding Cina (42.6 peratus); Orang Asli (6.3 peratus) dan India (2.0 peratus).

Pada PRN 2023, Anthony Loke mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 2,200 undi menewaskan calon PN. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast