Kemeriahan hiasan bendera Barisan Nasional dan PSM yang dipasang sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Rembau, Negeri Sembilan. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 NOVEMBER 2022.

SEREMBAN – Siapa lebih penting ketika mengundi, calon atau parti? Itu persoalan yang diajukan MalaysiaGazette kepada beberapa pengundi di Negeri Sembilan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), pada Sabtu ini, 1 Ogos 2026.

Dalam tinjauan yang dibuat MalaysiaGazette, ada pengundi berpendapat kekuatan parti serta rekod pentadbiran menjadi pertimbangan utama mereka dalam menentukan pilihan.

Manakala sebahagian lagi pula mengutamakan personaliti calon. Pada mereka, calon yang dikenali, mudah didekati dan sering membantu masyarakat lebih layak diberikan mandat.

Penduduk, Che Mat, 78, sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Labu. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 JULAI 2026.

Che Mat, 78 berkata, dia tidak melihat calon sebagai faktor utama kerana percaya hala tuju sesebuah parti lebih penting dalam menentukan masa depan rakyat.

“Kita kena tengok keadaan semasa. Kalau undi calon, maknanya kita hanya memilih seseorang. Tetapi bila undi parti, kita memilih dasar dan perjuangan yang kita mahu dipertahankan,” katanya.

Penduduk, Zainal Mohd Nor, 67, sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Labu. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 JULAI 2026.

Zainal Mohd. Nor, 67, pula berpendapat, parti yang memerintah mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk masa depan negara.

“Saya pilih parti kerana masa depan negara bergantung kepada parti yang memerintah. Parti yang baik akan memajukan negara dan menegakkan perkara yang betul,” katanya.

Penduduk, Anwar Razali, 59, sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Labu. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 JULAI 2026.

Bagi Anwar Razali, 59, parti yang kukuh perlu disokong, namun wakil rakyat juga mesti mudah dihubungi dan sentiasa bersama masyarakat.

“Kita sokong parti yang kuat dan bersatu, tetapi calon itu juga mesti boleh mentadbir, menjaga kampung dan mudah kita rujuk apabila timbul masalah,” ujarnya.

Penduduk, Zambri Suwardi, 70, sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Labu. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 JULAI 2026.

Nada sama disuarakan Zambri Suwardi, 70, yang mengakui rekod pentadbiran kerajaan semasa menjadi sebab beliau terus memilih parti yang disokongnya.

“Saya undi berpandukan parti kerana saya lihat pentadbiran kerajaan sekarang baik. Saya akan terus menyokong parti yang saya percaya,” katanya.

Penduduk, Nik Mohd Nasir, 70, sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Labu. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 JULAI 2026.

Seorang lagi pengundi, Nik Mohd. Nasir, 70 memberitahu, ia juga menjadikan rekod prestasi sebagai kayu ukur sebelum membuat keputusan di peti undi.

“Saya pilih parti berdasarkan rekod yang ditunjukkan selama ini, terutama dalam menjaga kebajikan rakyat dan ekonomi,” katanya.

Penduduk, Razak Achim, 78, sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Labu. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 JULAI 2026.

Namun bagi Razak Achim, 78, keputusan mengundi banyak bergantung kepada hubungan peribadi dengan calon.

“Saya kena kenal calon dahulu. Selama ini saya banyak berjumpa dan berbincang dengannya, malah pernah menerima bantuan. Kalau saya lebih mengenali calon lain selepas ini, mungkin pilihan saya juga boleh berubah,”ujar beliau.

Penduduk, Rahman Mohd, 67, sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Labu. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 JULAI 2026.

Rahman Mohd. Nabi Satar, 67, turut mengakui faktor calon sentiasa menjadi keutamaan dalam menentukan pilihannya.

“Dari dahulu lagi saya lebih melihat kepada calon. Selepas berjumpa calon hari ini, hati saya semakin yakin untuk memberikan sokongan,” katanya.

Seramai lebih 103 calon daripada pelbagai parti politik bakal berentap dalam PRN Negeri Sembilan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus diberi mandat rakyat untuk diangkat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pertembungan itu dijangka menyaksikan persaingan sengit antara parti-parti yang bertanding, termasuk gabungan utama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), selain beberapa parti lain yang turut meletakkan calon di kerusi tertentu.

Dengan jumlah calon yang ramai, PRN kali ini dijangka menjadi medan penting bagi pengundi Negeri Sembilan menentukan wakil yang mampu membawa suara dan memperjuangkan kepentingan mereka di peringkat negeri, selain menentukan hala tuju pentadbiran Negeri Sembilan untuk tempoh akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast