Calon Perikatan Nasional (PN) N.13 Sikamat, Datuk Razali Abu Samah bercakap kepada MalaysiaGazette semasa berkempen di sekitar Taman Desa Rhu, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

SEREMBAN – Calon Perikatan Nasional (PN) N.13 Sikamat, Datuk Razali Abu Samah mengakui beliau berdepan cabaran besar untuk menawan kerusi berkenaan yang dipegang selama tiga penggal oleh Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk menawarkan pilihan baharu kepada pengundi.

“Saya tahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat ini sudah tiga penggal dipegang oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan. Kali ini pula pertandingan melibatkan tokoh-tokoh politik yang dikenali.

“Tetapi bagi saya, kita bukan berlawan dengan manusia. Kita membawa ideologi dan keyakinan kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas berkempen di sekitar Sikamat, di sini, hari ini.

Razali berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan serta Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail. –

Razali berkata, sambutan yang diterima daripada penduduk sepanjang tempoh berkempen setakat ini amat memberangsangkan.

“Saya mengambil pendekatan turun padang bertemu seramai mungkin pengundi bagi mendengar sendiri isu yang dihadapi penduduk di sekitar Sikamat,” katanya.

Beliau percaya pendekatan itu lebih berkesan berbanding hanya bergantung kepada ceramah politik semata-mata.

“Setiap pandangan yang diterima akan dijadikan asas untuk membentuk penyelesaian sekiranya diberi peluang mewakili rakyat Sikamat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast