JEMPOL – Walaupun hanya melibatkan 16 pengundi awal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, calon Pakatan Harapan (PH), G. Manivanan tetap tiba paling awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol seawal jam 7.50 pagi kerana menganggap setiap undi mampu menentukan kemenangan.
Beliau berkata, tiada undi yang boleh dipandang remeh kerana kemenangan dalam pilihan raya boleh ditentukan hanya dengan kelebihan hanya satu undi.
“Setiap pengundi memainkan peranan yang penting sebab itu setiap undi penting kerana kemenangan dalam pilihan raya boleh ditentukan dengan kelebihan yang amat kecil.
“Sebab itu sebelum pintu dibuka saya sudah berada di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas meninjau proses pengundian awal di IPD Jempol di sini hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Kapar itu berkata, berdasarkan pertemuan dengan anggota polis sebelum ini, beliau melihat komitmen yang baik dan berharap sokongan mereka akan memihak kepada PH.
“Dalam perjumpaan saya dengan anggota-anggota memang komitmen bahawa kerjasama kita akan berterusan.
“Saya memang mengharapkan sokongan daripada anggota-anggota sebab kita kena bekerjasama selepas ini,” katanya yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas baki tempoh kempen, Manivanan berkata, PH akan memasuki fasa ‘last lap’ mengikut perancangan yang telah disusun sejak awal dengan memperbanyakkan program turun padang dan menyantuni pengundi.
Menurutnya, semua jentera telah diberi taklimat supaya berkempen secara berdisiplin dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan sokongan pengundi.
“Saya gunakan pengalaman politik hampir 20 tahun untuk memastikan gerak kerja kempen berjalan lancar dan mengelakkan kesilapan yang sering berlaku pada saat-saat akhir,” katanya.
Di daerah Jempol, seramai 333 anggota polis mengundi awal hari ini membabitkan tiga DUN iaitu Serting (244 pengundi), Bahau (73) dan Jeram Padang (16), manakala DUN Palong tidak mempunyai pengundi awal.
DUN Jeram Padang menyaksikan saingan empat penjuru dijangka antara penyandangnya, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir (BN), Datuk R. Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal daripada Parti Orang Asli Malaysia.
Pada PRN lalu, Mohd. Zaidy berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 693 undi sekaligus menjadikan DUN berkenaan antara kerusi marginal di Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette
















