Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Abu Samah menyantuni anggota polis semasa meninjau proses pengundian awal pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan di Pusat Mengundi Awal N.13 Sikamat di Balai Polis Sikamat, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah mengingatkan semua pengundi supaya menggunakan hak mereka untuk memilih tanpa dipengaruhi perasaan takut atau tekanan daripada mana-mana pihak.

Beliau berkata, hak mengundi merupakan hak setiap individu yang akan menentukan masa depan diri, keluarga dan negeri.

“Bagi saya, saya tidak mendengar apa-apa arahan tertentu sama ada wujud tekanan ataupun tidak. Apa yang Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah katakan ialah jangan takut kerana undi itu adalah hak kita sendiri.

“Apa juga pilihan yang dibuat akan mencorakkan masa depan diri sendiri dan keluarga masing-masing,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas meninjau proses undi awal Pilihan Raya Negeri Sembilan di Balai Polis Sikamat di sini hari ini.

Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Abu Samah menyantuni anggota polis semasa meninjau proses pengundian awal pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan di Pusat Mengundi Awal N.13 Sikamat di Balai Polis Sikamat, Seremban, hari ini.

Menurut beliau, setakat ini beliau tidak mempunyai sebarang bukti atau menerima aduan berhubung dakwaan berlaku ugutan atau sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang terhadap pengundi.

“Saya juga tidak mempunyai bukti ataupun mendengar mana-mana pihak mengatakan mereka diugut atau berlaku perkara yang menyalahi undang-undang.

“Yang penting, keluarlah mengundi dan pilihlah calon yang dirasakan layak,” katanya.

Dalam pada itu, pengalaman lebih tiga dekad dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadikan lawatan Razali ke Balai Polis Sikamat sempena pengundian awal hari ini cukup bermakna.

“Kehadiran saya ke pusat pengundian awal bukan sahaja untuk meninjau proses pilihan raya, malah mengimbau kenangan ketika masih berkhidmat sebagai pegawai polis,” katanya.

Beliau berkata, kesempatan bertemu dan bersalaman dengan anggota yang pernah berkhidmat bersamanya turut memberi keyakinan bahawa proses pengundian awal berjalan dalam keadaan terbaik.

“Saya bersalam dengan anak-anak buah yang lama dan syukur Alhamdulillah mereka juga berpuas hati dengan keadaan yang dikendalikan oleh SPR kali ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast