PEKAN – Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menyelar tindakan polis memanggil salah seorang aktivisnya untuk memberi keterangan susulan hantaran dipercayai mengulas titah Tengku Mahkota Pahang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 8 Mei lepas tular di media sosial.
Katanya, tindakan polis itu disifatkan seolah-olah menyekat kebebasan bersuara aktivis keadilan alam sekitar yang memperjuangkan hak masyarakat serta kelestarian alam.
“Salah seorang aktivis keadilan alam sekitar Kuasa, Shakila Zen telah dipanggil untuk memberikan kenyataan kepada pihak polis selepas satu hantaran di media sosialnya tular di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Media 1998.
“Kami daripada Kuasa mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk intimidasi, ugutan, gangguan dan tindakan undang-undang yang bertujuan membungkam suara aktivis,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Jelasnya, aktivis Kuasa memainkan peranan penting dalam mengenengahkan isu pencemaran, kemusnahan ekosistem, perubahan iklim serta kesan projek pembangunan terhadap komuniti rentan.
Menurutnya, Kuasa bukan musuh pembangunan, sebaliknya memainkan peranan sebagai sebahagian daripada mekanisme semak dan imbang serta memastikan pembangunan dilaksana secara bertanggungjawab, telus dan mampan.
Sementara itu, Ketua Polis Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin ketika dihubungi mengesahkan telah memanggil wanita terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada 7 Ogos ini untuk diambil keterangan susulan satu laporan yang diterima berkaitan hantaran dibuat wanita terbabit pada 11 Mei lepas.
“Dalam laporan diterima, pengadu mengatakan hantaran itu disifatkan menghina institusi diraja khususnya Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan memetik titah baginda mengenai isu lesen pengeluaran pasir sungai di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kuasa memaklumkan akan mengadakan perhimpunan solidariti secara aman di hadapan IPD Pekan pada 7 Ogos depan jam 11 pagi. – MalaysiaGazette
















