Chan Chun Kuang

KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang menyatakan solidariti penuh terhadap aktivis alam sekitar Shakila Zen yang dilapor telah dipanggil olis untuk memberi keterangan susulan hantaran di media sosial mengaitkan institusi diraja Pahang dengan aktiviti perlombongan pasir pada Mei lepas.

Menurut Chan, dalam sebuah negara demokratik, perbezaan pandangan hendaklah dijawab dengan fakta, hujah dan dialog yang matang, bukannya melalui suasana yang boleh menimbulkan ketakutan kepada masyarakat sivil yang aktif memainkan peranan mereka.

“Saya menghormati pihak berkuasa dalam menjalankan tugas serta tidak berniat mengulas merit siasatan tersebut. Namun, saya berharap proses tersebut dilaksanakan secara adil, telus dan profesional agar keadilan dapat terus ditegakkan tanpa menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem kerajaan negara.

“Walau bagaimanapun, kes ini membangkitkan persoalan yang lebih besar mengenai ruang demokrasi, kebebasan bersuara dan perlindungan terhadap mereka yang memperjuangkan kepentingan awam.

“Aktivis alam sekitar bukan penjenayah. Mereka ialah rakyat yang tampil mempertahan sungai, hutan, tanah, biodiversiti dan kesejahteraan masyarakat. Tanpa keberanian mereka, banyak kerosakan terhadap alam sekitar mungkin tidak akan diketahui umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chan berkata, negara memerlukan lebih ramai rakyat yang berani mempertahankan alam sekitar, bukannya rakyat yang takut untuk bersuara dan akhirnya mengakibatkan kerugian kepada generasi akan datang.

Sehubungan itu, katanya keadilan mesti diberikan kepada Shakila Zen dan semua aktivis yang bersuara demi kepentingan awam.

“Saya menyeru pihak berkuasa supaya memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil, berkadar dan menghormati hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Ruang untuk rakyat menyuarakan kebimbangan terhadap isu-isu kepentingan awam perlu terus dipelihara, selagi ia dilakukan mengikut lunas undang-undang,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Polis Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin ketika dihubungi mengesahkan telah memanggil aktivit terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada 7 Ogos ini untuk diambil keterangan susulan satu laporan yang diterima berkaitan hantaran dibuat wanita terbabit pada 11 Mei lepas.

Katanya, kes itu telah dibuka untuk siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Media 1998.

“Dalam laporan diterima, pengadu mengatakan hantaran itu disifatkan menghina institusi diraja khususnya Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan memetik titah baginda mengenai isu lesen pengeluaran pasir sungai di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast