KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) menegaskan, kebajikan Truper Abdul Hamid Talib sentiasa diberi perhatian sejak insiden yang menimpanya pada 12 Mac lalu.
Malah, tindakan tatatertib terhadap pelaku telah diambil termasuk proses pemberhentian perkhidmatan yang sedang dilaksanakan.
TDM menerusi kenyataan rasmi Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Darat berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media bertarikh 27 Julai lalu yang mendakwa berlaku pengabaian terhadap kebajikan anggota berkenaan.
Menurut TDM, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan Abdul Hamid menerima rawatan perubatan terbaik serta bantuan kebajikan yang sewajarnya sepanjang tempoh pemulihan.
“Anggota telah menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan dan seterusnya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi rawatan serta rehabilitasi lanjut,” menurut kenyataan itu hari ini.
Artikel berkaitan: Komando muda kritikal: Dua anggota ATM dibebaskan dengan jaminan polis
Komando muda kritikal: Polis Johor tahan dua tentera, rampas rotan
Komando parah: Siasatan dalaman selesai, dua anggota dipercayai terlibat
Komando muda kritikal insiden ketika latihan, LFL desak siasatan dan penjelasan ATM
TDM turut memaklumkan, lawatan kebajikan dilaksanakan secara berterusan oleh pelbagai peringkat pemerintahan bagi memantau perkembangan kesihatan anggota selain memastikan segala keperluannya dipenuhi.
Katanya, persediaan juga sedang dibuat bagi memastikan Abdul Hamid dapat menjalani penjagaan yang sewajarnya di rumah selepas dibenarkan keluar hospital.
Dalam perkembangan sama, TDM memaklumkan, siasatan dalaman berhubung insiden berkenaan telah selesai dilaksanakan dan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap pelaku mengikut peruntukan yang berkuat kuasa.
“Proses pemberhentian perkhidmatan terhadap pelaku sedang dilaksanakan. Pada masa yang sama, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah selesai dan sebarang tindakan lanjut adalah tertakluk kepada proses perundangan,” katanya.
Sehubungan itu, TDM menyeru semua pihak agar mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga sensitiviti anggota dan keluarganya.
“TDM kekal komited untuk terus memberikan perhatian terhadap kebajikan anggota serta akan menyalurkan bantuan mengikut keperluan dan peruntukan yang ditetapkan,” katanya.
Media melaporkan pada 11 Mac lalu, Abdul Hamid mengalami kecederaan serius ketika berada di Kem Iskandar, Mersing, Johor.
Laporan perubatan yang dikeluarkan memaklumkan mangsa mengalami kecederaan otak traumatik yang teruk sehingga menyebabkan lumpuh pada keempat-empat anggota badan.
Mangsa yang berasal dari Bum Bum, Samporna, Sabah itu kini tidak mampu bercakap dan hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan menerima nutrisi melalui tiub susulan kecederaan serius di bahagian kepala.
Kecederaan dialami mangsa didakwa berlaku selepas menjalani hukuman di kem terbabit dan bukannya terjatuh seperti dimaklumkan sebelum ini.
Keluarga mangsa pada 14 Mac lalu juga membuat laporan polis dan menggesa tindakan segera diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab. – MalaysiaGazette
LFL gesa kerajaan beri penjelasan nasib komando cedera parah
















