Ab Rahaman melakukan pemeriksaan barisan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 318 anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor akan bertugas semasa proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, ini melibatkan 290 anggota tugas am dan 28 anggota trafik itu bagi membantu kelancaran proses PRN itu.

“Penugasan ini adalah sebahagian tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan proses demokrasi negara berjalan dalam suasana aman, selamat dan teratur.

“Kontinjen Johor akan membantu Kontinjen Negeri Sembilan bermula hari ini dan dijangka tamat dua hari selepas selesai proses pengundian.

Beliau berkata demikan ketika berucap dalam majlis pelepasan petugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ab Rahaman berkata, selain anggota yang dihantar ke Negeri Sembilan, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menerusi Op Cantas turut berada dalam keadaan siap siaga di Johor untuk digerakkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.

Ab Rahaman menyempurnakan majlis pelepasan petugas IPK Johor bertugas PRN Negeri Sembilan di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

“Sepanjang penugasan, saya mengingatkan semua anggota supaya mematuhi setiap arahan pegawai pemerintah, mengekalkan sikap neutral dan sentiasa mengutamakan keselamatan.

“Walaupun datang daripada kontinjen dan formasi berbeza, kita tetap bergerak sebagai satu pasukan dengan satu matlamat iaitu memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Kontinjen Johor serta kontinjen luar atas kejayaan mengendalikan PRN Johor Ke-16 yang berlangsung tenteram dan terkawal.

Jelasnya, PRN Johor Ke-16 yang bermula dari Hari Penamaan Calon pada 27 Jun 2026 hingga penubuhan Kerajaan Negeri baharu pada 12 Julai 2026 sudah disempurnakan dengan cemerlang.

Ab Rahaman menyerahkan sijil penghargaan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

Sepanjang tempoh PRN Johor katanya, pihak polis menerima 130 laporan dan membuka 27 kertas siasatan.

“Ia melibatkan 20 kes khianat bahan kempen di bawah Seksyen 426, 427 dan 435 Kanun Keseksaan, empat kes di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, serta masing-masing satu kes bagi fitnah (Seksyen 500 Kanun Keseksaan), menerbitkan berita palsu (Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan) dan Akta Hasutan 1948,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 4,481 kempen melalui ceramah dijalankan oleh parti-parti politik yang bertanding sepanjang tempoh pilihan raya berkenaan, dengan pemantauan ketat polis memastikan kesemuanya berjalan tanpa sebarang insiden tidak diingini.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast