Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan DUN Sikamat di Pusat Perniagaan Betaria, Seremban. Foto SADIQ SANI, 29 JULAI 2026.

SEREMBAN – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu memberi amaran bahawa naratif kononnya Malaysia hanya milik orang Melayu sahaja merupakan fahaman ekstrem yang boleh mengancam perpaduan negara.

Beliau berkata, selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, semua rakyat yang memiliki kewarganegaraan Malaysia tanpa mengira kaum mempunyai hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, hak istimewa orang Melayu, institusi Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sememangnya dilindungi Perlembagaan namun ia tidak bermakna kaum lain dinafikan hak sebagai warganegara.

“Sekarang timbul fahaman mengatakan orang Cina ada negara China, orang India ada negara India, jadi Malaysia hanya untuk orang Melayu.

“Ini fahaman ekstrem kanan yang sangat berbahaya,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di Sikamat di sini malam ini.

Mohamad turut membandingkan sentimen itu dengan fahaman white supremacy di negara Barat yang menurutnya ditolak masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata, sekiranya rakyat Malaysia berbangga melihat individu berketurunan Asia seperti Sadiq Khan menjadi Datuk Bandar London dan Rishi Sunak pernah menjadi Perdana Menteri United Kingdom, rakyat juga perlu menerima hak semua kaum bertanding serta memegang jawatan dalam negara mengikut Perlembagaan.

“Baik atau jahat seseorang tidak boleh dinilai berdasarkan kaum, sebaliknya berdasarkan integriti serta tindakan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menuduh pihak tertentu sengaja memainkan sentimen kaum bagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Anthony Loke berulang kali menegaskan bahawa hak istimewa orang Melayu, institusi Raja-Raja Melayu dan Islam tidak pernah dipersoalkan.

Namun, katanya, masih terdapat pihak yang cuba membina persepsi kononnya kaum lain mahu merampas hak orang Melayu.

“Mereka cipta ketakutan, cipta keraguan dalam masyarakat. Hak orang Melayu tidak diganggu malah disokong mengikut Perlembagaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast