Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang, Mohd Razali Saari

SHAH ALAM –  Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Mohd Razali Saari (Pas) menarik balik kenyataan yang dibuatnya pada sesi perbahasan semalam selepas diarahkan Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San.

Weng San berkata, beliau membuat keputusan itu selepas meneliti rakaman video dan catatan dalam draf Hansard berhubung kenyataan yang dibuat Mohd Razali ketika sesi perbahasan kira-kira pukul 4.10 petang semalam.

Beliau berkata demikian sebelum menjemput Mohd Razali menyambung perbahasan pada Sidang Dewan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

“Sebelum saya menjemput Yang Berhormat Sungai Panjang menyambung perbahasan, saya telah meneliti rakaman video dan catatan dalam draf Hansard.

“Saya meminta Yang Berhormat Sungai Panjang menarik balik perkataan dan ayat yang dilafazkan sekitar pukul 4.10 petang semalam, iaitu bermula dengan kenyataan bahawa daripada pihak kerajaan yang tidak masuk-masuk, khususnya daripada kalangan Muslim sehingga menyebabkan tidak cukup korum untuk kita memulakan persidangan Dewan.

“Turut diminta ditarik balik ialah kenyataan bahawa perkara itu menunjukkan ketidakseriusan wakil rakyat daripada pihak kerajaan,” katanya.

Susulan arahan itu, Mohd Razali bersetuju menarik balik kenyataan berkenaan.

“Sungai Panjang menarik balik kenyataan semalam kerana menghormati integriti Dewan yang mulia ini dan berharap segala nasihat selepas ini dapat diterima secara terbuka,” katanya.

Weng San kemudian mengarahkan Setiausaha Dewan supaya kenyataan berkenaan dikeluarkan daripada rekod draf Hansard.

Sebaik selesai menarik balik kenyataan itu, Mohd Razali memohon penjelasan daripada Speaker berhubung Peraturan Tetap 35(1) mengenai hak seseorang ahli untuk berucap tanpa diganggu oleh ahli lain.

Beliau berkata, beliau sering diganggu ketika menyampaikan ucapan dan meminta panduan mengenai hak seseorang ahli untuk meneruskan perbahasan tanpa gangguan.

Menjawab perkara itu, Weng San menjelaskan seseorang ahli yang sedang berbahas mempunyai hak untuk menentukan sama ada mahu memberi laluan kepada ahli lain yang ingin mencelah.

“Jika ada ahli lain memohon mencelah mengikut Peraturan Tetap, ia bergantung kepada Yang Berhormat yang sedang berucap sama ada hendak memberi laluan atau tidak.

“Itu adalah hak Yang Berhormat yang sedang berbahas,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan semua Ahli Dewan supaya menjaga ketenteraman dan mematuhi Peraturan Tetap Dewan bagi memastikan perjalanan persidangan berlangsung dengan lancar.

Semalam, Sidang DUN Selangor kecoh kira-kira 15 minit sebelum persidangan ditangguhkan selepas Mohd Razali mendakwa wakil rakyat kerajaan tidak serius apabila ramai tidak berada di dalam dewan sehingga menyebabkan korum tidak mencukupi untuk memulakan persidangan.

Kenyataan itu mencetuskan bantahan beberapa Ahli Dewan Negeri kerajaan yang berulang kali meminta beliau menarik balik dakwaan berkenaan, sekali gus mencetuskan pertikaman lidah sebelum Weng San menangguhkan persidangan. -MalaysiaGazette

Dakwaan wakil rakyat kerajaan tidak serius cetus kekecohan di DUN Selangor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast